Cukuplah 22 bulan kegagalan Pakatan Harapan!

- Advertisement -

SEWAKTU PRU-14, rakyat telah memberi peluang kepada Pakatan Harapan (PH) untuk memerintah menerusi sistem demokrasi. Namun akibat kegagalan mereka, kerajaan mereka tumbang dek tangan mereka sendiri.

Hakikatnya sepanjang 22 bulan pemerintahan PH, tidak ada satu pun kejayaan yang mereka bawa untuk negara. Golongan cauvinis dan ekstremis dalam PH menggunakan sebaik peluang, menyentuh berbagai perkara melibatkan dasar dan polisi yang sensitif, khususnya melibatkan Islam dan hak Bumiputera. Perpaduan dan keharmonian negara tergugat akibat kegagalan mereka mengurus persepsi. 

Dalam mereka menjaja soal integriti lawan, ternyata mereka sendiri bagai kokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi. Kes-kes pendakwaan melibatkan pimpinan mereka digugurkan, walau sedang dalam proses bicara. Malah, ada yang tanpa segan silu mempertahankan pemimpinnya yang sedang dibicara, katanya mereka difitnah walhal bukti jelas dan nyata. 

Apakah pakatan sebegini perlu diberi sekali lagi peluang mengemudi negara? Jawapannya sudah tentu tidak. Malaysia tidak perlukan sebuah pakatan politik yang berkiblatkan ‘Malaysian Malaysia’, mendakwa diri mengangkat kesamarataan dan integriti walhal sebenarnya hanya mahukan kuasa untuk kepentingan diri. 

Sudah pasti, rakyat telah serik dengan episod hitam ini. Rakyat tidak mahu diheret dalam politik fitnah, sandiwara bersulam dendam. Cukuplah 22 bulan peluang yang diberi, rakyat tidak mahu ulangi lagi.

NAZIR HELMI
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 19/9/2022

- Advertisement -
- Advertisement -