Terus bermunajat kepada Allah bagi capai kemenangan

- Advertisement -

Oleh AMIRUL SYAHMI

BALIK PULAU:
Naib Presiden PAS, Senator Datuk Idris Ahmad berkata, sendainya Islam hanya sekadar menjaga hubungan dengan Allah, maka Rasulullah SAW tidak akan diperintahkan untuk berhijrah ke Madinah.

Menurutnya, tetapi Islam adalah agama yang berkait rapat dengan hubungan sesama manusia, maka perintah hijrah menjadi bukti Islam merangkumi hubungan dengan Allah SWT dan makhluk.

- Advertisement -

“Andai Islam hanya sekadar menjaga hubungan dengan Allah SWT, maka Rasulullah SAW tidak akan diperintahkan untuk berhijrah ke Madinah tetapi Islam adalah merupakan agama yang turut berkait rapat dengan hubungan sesama manusia dan maka itulah perintah hijrah menjadi bukti Islam merangkumi hubungan dengan Allah SWT dan makhluk bagi melengkapkan misi kerasulan Nabi SAW,” ujarnya.

Beliau menyatakan demikian kepada ahli-ahli PAS kawasan Balik Pulau dan Zon Pulau dalam Program Solat Hajat Perdana dan Taujihat anjuran Dewan Ulamak PAS kawasan, kelmarin. Hadir sama ialah Setiausaha PAS negeri, Iszuree Ibrahim.

Beliau turut menegaskan bahawa tugas sebagai jentera dakwah tidak hanya tertakluk kepada menyeru manusia kembali kepada Allah SWT, tetapi harus disertakan dengan melaksanakan hukum Islam lengkap yang perlu kepada kekuasaan.

Katanya, selain melakukan gerak kerja ke arah persediaan menghadapi pilihan raya, ahli PAS jangan sesekali melupakan munajat dan doa kepada Allah SWT demi meraih reda daripada-Nya.

Program munajat dan dialog tersebut dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah dan solat sunat hajat perdana yang telah dipimpin oleh Pesuruhjaya PAS negeri merangkap Yang Dipertua PAS Kawasan Balik Pulau, Ustaz Muhammad Fauzi Yusof.

Program diteruskan lagi dengan taujihat ringkas yang telah disampaikan oleh Ketua Dewan Ulamak PAS Kawasan, Ustaz Zainal Othman.

Beliau juga mengingatkan ahli PAS berkenaan tunjang kepada jemaah yang berpaksikan tarbiah, dakwah dan siyasah serta menitipkan sedikit pesanan buat generasi muda yang bakal mewarisi perjuangan jemaah Islam. – HARAKAHDAILY 18/9/2022

- Advertisement -