Petani perlu daftar mudah kerajaan salur bantuan

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

BACHOK:
Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) meminta petani, penternak dan nelayan membuat pendaftaran perusahaan yang mereka usahakan bagi memudahkan pengagihan bantuan khususnya ketika berlaku bencana.

Timbalan Menterinya Dato’ Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, ia sebagai langkah persediaan pihaknya menyediakan peruntukan bagi membantu golongan itu apabila terjejas dengan bencana alam.

“Kementerian menyediakan dana dan jumlahnya yang mencukupi sekiranya berlaku musibah, agensi kita akan kenal pasti penerimanya.

- Advertisement -

“Sebab itu saya sentiasa sebut kepada petani, penternak dan nelayan agar berdaftar dengan pertubuhan yang ada, walau pun perusahaan diusahakan skala kecil,” katanya ketika ditemui pada program jualan murah Keluarga Malaysia (PJMKM) di Pusat Khidmat Dun Tawang di Wakaf Zin, hari ini.

PJMKM 2.0 diselia agensi di bawah MAFI iaitu Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dilaksanakan meliputi 45 kawasan Dun di negeri ini.

Hadir sama anggota Exco Kerajaan Negeri Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail dan Adun Tawang Dato’ Hassan Mohamood.

Dr Nik Muhammad Zawawi yang juga Ahli Parlimen Pasir Puteh berkata golongan yang tidak berdaftar dengan agensi ditetapkan menyebabkan mereka tiada pengenalan diri berkaitan aktiviti pertanian yang diusahakan.

Menurutnya kerajaan sentiasa terbuka untuk membantu golongan yang ditimpa musibah lebih-lebih lagi mereka yang terlibat dalam sektor pertanian kerana ia merupakan aset penting negara.

“Tidak berdaftar seperti rakyat Malaysia tetapi tiada kad pengenalan diri, kita tidak boleh hendak buat apa, walaupun dia dilahirkan di negara ini.

“Begitu juga petani dia kena daftar baru dapat jadi ahli, dapat ‘IC pertanian’ bagi membolehkan agensi tahu aktiviti yang diusahakan, dan apabila berlaku bencana mereka akan bantu,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/9/2022

- Advertisement -