Mengapa ustaz sokong Liverpool?

Ustaz Kamal Ashaari
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

DALAM kesibukan menguruskan Kompleks Tahfiz Al-Quran Al-Qaradhawi (KOMTAQ) dan kerja lapangan dakwah, Ustaz Kamal Ashaari masih berpeluang kekal aktif dengan sukan bola sepak. Susuk tubuh Mudir KOMTAQ yang juga Timbalan Pengerusi Tetap PAS Pusat rupanya peminat tegar kelab bola Liverpool. Ikuti wawancara Harakahdaily bersama Ustaz Kamal yang menganggap sukan bola sepak sebagai lapangan ilmu politik.

Harakahdaily: Ustaz masih aktif dalam sukan bola sepak sehingga sekarang?

Ya, sampai sekarang masih main bola lagi walaupun umur sudah 52 tahun. Saya juga main badminton dan futsal. Saya masih aktif dalam bola sepak dengan futsal disebabkan kebetulan di sekolah saya selalu sertai para pelajar bermain ketika waktu petang.

Kita bermain dengan mereka, selain daripada buang peluh, ia merapatkan hubungan antara guru dengan pelajar. Ini kerana apabila sesi pembelajaran, saya adalah orang yang tegas, jadi sukar untuk pelajar senyum dengan saya kerana saya gambarkan kepada mereka saya seorang yang serius. Apa yang kita lakukan ini bukan kerana bencikan mereka, tetapi kerana mereka perlu fokus kepada sesi pembelajaran. Namun, apabila petang kita boleh bersantai, bermain, ketawa dan bergurau senda.

- Advertisement -

Ustaz pernah menjadi wakil sekolah dalam sukan bola sepak?

Sejak daripada sekolah rendah lagi. Saya pernah mewakili sekolah menengah untuk bertanding ke peringkat sekolah-sekolah agama negeri, di Pahang ada Majlis Sukan dan Ilmiah Sekolah-Sekolah Agama Pahang (MASISUPA). Jadi ketika itu saya mewakili sekolah untuk badminton dan bola sepak. Semasa di Mesir pun kita pernah wakil Malaysia untuk Piala Dunia Azhar. Ketika itu ada lebih kurang 82 buah negara belajar yang di situ. Atas inisiatif pelajar-pelajar, mereka buat perlawanan antara semua negara yang belajar di Al-Azhar, Malaysia ada dua kumpulan, saya masuk kumpulan yang kedua, Kumpulan B masa itu.

Jadi, kelab bola mana yang Ustaz sokong?

Mestilah Liverpool, walaupun Liverpool kalah (UEFA Champion League). Sebenarnya bukan tidak menang, Liverpool main bagus, cuma begitulah nasib. Tidak semestinya orang yang menguasai permainan boleh menang.

Sama juga dengan politik, tidak semestinya Umno menguasai dia boleh menang selalu. Kerana hakikatnya dalam pilihan raya pun Umno kalah, walaupun Umno menguasai kerajaan pada masa itu. Itulah bola boleh kita implementasikan dalam dunia politik.

Walaupun Liverpool menguasai permainan selama 90 minit, tetapi minit akhir mungkin ketahanan dari sudut pertahanan rapuh, dia biar belakang, pertahanan tidak mampu kawal penjaring itu, akhirnya bola itu masuk gol.

Begitu juga politik, kita boleh ambil juga senarionya. Yang penting ialah kita dapat menghabiskan penghujung itu dengan sesuatu yang boleh beri kejayaan. Kita tidak boleh hanya melihat kepada penguasaan, tetapi mesti melihat ada target atau tujuan yang perlu dicapai.

Dalam banyak-banyak kelab bola sepak, kenapa Liverpool?

Pertamanya, dia kelab yang konsisten, dia tak macam MU (Manchester United), MU kebelakangan ini baru timbul nama dia, zaman dulu MU tiada dalam senarai Top 5 EPL ini. Dia mula naik sejak ada David Beckham, zaman itu sahaja baru naik, tetapi Liverpool sejak dahulu lagi. Kalau lihat sejarah kelab-kelab EPL ini, Liverpool ini antara kelab yang konsisten dalam memiliki piala utama. Sama ada di peringkat England, atau di peringkat Eropah.

Maksudnya, bukan sebab pemilihan pemain?

Sedikit sebanyak, ya. Pertama sekali, sebab kebijaksanaan coach yang Liverpool ambil, mereka bijak mencari pemain, selain daripada pemain-pemain yang boleh menaikkan nama kelab, EPL ini merupakan perniagaan yang besar. Dia satu kejohanan yang mengundang perniagaan, sebab itu kelab-kelab yang bijak, mereka tahu bagaimana untuk menghasilkan buat serampang dua mata.

Selain ambil pemain-pemain untuk memenangkan kelab, mereka juga menarik penajaan. Ini yang dibuat oleh JDT, kenapa JDT itu ambil pemain mahal? Sebab kata TMJ (Tengku Mahkota Johor), jika pemain kelab tidak mempamerkan aksi yang baik, kelab tidak bagus, siapa yang akan berminat untuk menaja kelab? Jadi sekarang ini bola sepak, dia bukan hanya sukan, tetapi ia juga adalah perniagaan.

Ustaz ada jersi Liverpool?

Ada, yang depan dia tulis macam-macam, yang candy ada. Dia ada logo penajakan, sekarang ini Standard Chatered. Dulu pernah ada Carlsberg, yang itu saya tidak beli. Kalau hendak tengok koleksi, ada di rumah.

Berapa harga koleksi jersi Ustaz?

Semasa saya ke UK sebelum ini, saya memang akan beli, ataupun saya kirim ke pelajar Malaysia di UK, sebab di Malaysia tiada jual. Tetapi biasa sekarang, jersi A kalau di Malaysia ini harga dia RM300 lebih, bukan yang pasar malam, yang memang ada lesen.

Setakat ini, berapa banyak dah koleksi jersi Liverpoll Ustaz?

Setiap satu musim, satu. Musim lepas ada, musim baru ini ada. Sekarang ini ada dengan saya lebih kurang dalam sembilan atau sepuluh jersi. Saiz sahaja berbeza sedikit, peringkat awal selalu kita pakai saiz M, sekarang sudah saiz XXL, tetapi kebelakangan ini sudah turun ke saiz L balik, Alhamdulillah. – HARAKAHDAILY 18/9/2022

- Advertisement -