Elak PRU15 di musim tengkujuh

Oleh AIN MANAF

PASIR MAS:
Kerajaan disaran supaya tidak mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ketika musim tengkujuh memandangkan beberapa negeri berdepan dengan ancaman banjir.

Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, sebaliknya kerajaan perlu memberi tumpuan sepenuhnya dalam aspek keselamatan bagi membantu mangsa terlibat dengan banjir yang sering berlaku setiap tahun di negeri tertentu.

Malah, sekiranya PRU diadakan ketika musim banjir ia turut memberi impak buruk terhadap proses pengundian itu sendiri dalam pelbagai sudut sekiranya ia tetap dilaksanakan.

Advertisement

“Oleh demikian diharapkan kerajaan mempertimbangkan sebarang keadaan serta kesukaran yang bakal dihadapi oleh rakyat sebelum membuat sesuatu keputusan.

“Tiada siapa pun tahu bila berlaku PRU, dan sekiranya berlaku PRU dalam suasana banjir saya yakin kerajaan juga telah ada perkiraan dan persiapan yang dibuat.

“Lagi pun pembubaran parlimen bukan hanya terletak di tangan Perdana Menteri secara individu, tetapi secara kolektif melalui persetujuan kabinet serta Yang di-Pertuan Agong bagi membubarkan Parlimen.

“Namun begitu, diharapkan kerajaan perlu elak untuk mengadakan PRU ketika musim banjir. Pun begitu kami percaya dengan kewibawaan kerajaan pasti akan mengambil kira khususnya berkaitan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis program simulasi dan latihan amal pengurusan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Kelantan di Dewan Besar Kolej Kemahiran Tinggi MARA, di sini hari ini.

Mengulas lanjut Siti Zailah berkata, bagi peringkat parlimen pihaknya sentiasa membuat persediaan rapi dalam menghadapi PRU yang bakal diadakan.

Menurutnya juga JKM membuat perancangan rapi bagi menghadapi bencana tahun ini terutamanya Monsun Timur Laut (MTL) dan kejadian banjir yang berlaku secara mengejut sejak akhir-akhir ini.

“Kita menyediakan sebanyak 6,010 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negara termasuk 446 buah di Kelantan serta memaksimumkan kapasiti barang keperluan bencana di 8 Depoh Simpanan Keperluan Bencana (DSKB), 193 Setor Bencana Negeri, Daerah dan Mini Depoh Kontena serta 518 Pangkalan Hadapan.

“Selain itu juga, kita menggerakkan seramai 5,067 pegawai dan kakitangan JKM, 195 Pegawai Psikologi atau Kaunselor JKM yang akan dibantu 1,075 Psychological Support Team (PST) serta 7,260 sukarelawan berdaftar di seluruh negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/9/2022