Dr Mahathir keliru label PAS kafir

- Advertisement -

KOTA BHARU: Bukan kali pertama Tun Dr Mahathir Mohamad melempar tuduhan PAS sebagai kafir kerana ia mengulangi apa yang pernah disebut ketika menerajui negara sebelum ini.

Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pemimpin terbabit keliru apabila tetap mengulangi perkataan sama seperti sebelum ini.

Katanya, bukan kali pertama PAS dituduh sebagai kafir yang dianggap cuba memecah belahkan sokongan orang Melayu Islam terhadap PAS.

- Advertisement -

“Dakwaan itu keluar ekoran usaha PAS untuk terus bekerjasama dengan Umno dan parti bukan Islam demi perpaduan ummah. Saya secara peribadi menghormatinya sebagai seorang pemimpin berwawasan tetapi dalam konteks tertentu itu kita agak terkeliru.

“Kita pernah dengar tahun 1970-an Tun pernah mengeluarkan fatwa kononnya PAS lebih bahaya daripada komunis, itulah yang kita kenal siapa dengan Tun,” katanya kepada media selepas Program Karnival Jualan Murah di Gelanggang Seni Kota Bharu di sini semalam.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota menjelaskan menjadi resam ahli parti politik seluruh dunia untuk mendapatkan kuasa dengan menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak.

Menurutnya juga tindakan Dr Mahathir menyertai politik tidakkah kerana untuk mendapatkan kuasa dan kedudukan dalam kerajaan.

“Kalau Tun diberi peluang untuk dilantik sekali lagi bagi jawatan perdana menteri adakah Tun berminat. Ini kerana semua parti politik yang terlibat dalam sistem demokrasi mahukan tampuk kekuasaaan sama ada peringkat negeri atau negara.

“Kalau Tun sebut PAS hanya mementingkan kuasa dalam kerajaan, jadi soalan saya kalau ada peluang jadi Perdana Menteri Tun nak tak..

“Jadi kalau Tun boleh jawablah sama ada Tun nak atau tidak sebagai ahli politik yang lama di negara ini. Kita sudah lali dengan dakwaan seperti itu. Jadi kita serahkan kepada rakyat untuk membuat penilaian mengenainya,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 18/9/2022

- Advertisement -