Rakyat Malaysia diseru tolak Pakatan Harapan dalam PRU15

- Advertisement -

DEWAN Ulamak PAS Pusat menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya menolak Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 akan datang.

Kegagalan pemerintahan PH sepanjang 22 bulan pasca PRU14 jelas menunjukkan bahawa mereka tidak mempunyai kredibiliti untuk mentadbir Kerajaan Persekutuan mahupun Negeri. 

Pakatan Harapan telah membelakangkan janji manifesto yang dikemukakan kepada rakyat dalam pilihan raya dengan alasan manifesto bukanlah sebuah ‘kitab suci’. 

Lebih malang lagi, pemerintahan PH juga menjadi lubuk kepada pengaruh golongan liberal dan sekular bertapak seterusnya mendorong penggubalan dasar-dasar negara yang tempang. 

Tambahan lagi, meskipun pemerintahan Pakatan Harapan cuba menampilkan imej pentadbiran yang bersih, namun ironinya mereka sanggup merelakan pemimpin yang didakwa dengan kes rasuah dan salah laku supaya dihentikan dakwaan di mahkamah dengan proses representasi. 

Ia tidak membaiki keadaan malah semakin meruncing ibarat tikus membaiki labu. 

Dewan Ulamak PAS Pusat berpandangan sudah tiba masanya rakyat Malaysia memberikan sokongan kepada gagasan Penyatuan Ummah yang mengutamakan prinsip bersatu padu dalam kalangan rakyat selain teguh mempertahankan nilai agama, budaya dan warisan sejarah dalam negara ini. 

Dewan Ulamak PAS Pusat yakin bahawa gagasan Penyatuan Ummah adalah jawapan kepada kegagalan PH 22 bulan. 

Sesungguhnya budaya bawaan PH tidak sesuai kepada rakyat Malaysia yang inginkan kestabilan dan kesejahteraan. Kita tidak rela pisang berbuah dua kali. 

Oleh itu, tiada lagi kata dua. Kuburkan PH dan berikan mandat kepada gagasan Penyatuan Ummah.

YB SENATOR USTAZ DATO’ HAJI AHMAD YAHYA
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 17/9/2022

- Advertisement -
- Advertisement -