KUALA LUMPUR: PAS menzahirkan ucapan takziah atas pemergian tokoh pendidikan negara, Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin, semalam.
Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan menzahirkan perasaan dukacita, kerana terharu dengan sumbangan dan pengorbanan allahyarham sepanjang berkhidmat dengan negara.
Menurutnya, allahyarham merupakan tokoh pendidikan yang banyak berjasa kepada negara malah dianggap sebagai arkitek pendidikan bersepadu di Malaysia.
“Sumbangan besar beliau ialah ketika memegang jawatan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia dan penasihat khas kepada Menteri Pendidikan,” ujarnya dalam kenyataan, semalam.
Tambahnya, Allahyarham turut memberikan khidmat kasih selepas persaraan sebagai Pengerusi Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang turut membuktikan kecintaannya kepada kemajuan dan kecemerlangan pendidikan negara.
Katanya lagi, kehilangan Allahyarham sangat dirasai oleh negara khususnya Kementerian Pendidikan dan warga pendidik keseluruhannya
“Semoga segala jasa dan pengorbanan beliau dibalas dengan ganjaran pahala berlipat ganda daripada Allah SWT,” ujarnya.
Katanya, pemergian Allahyarham pada tarikh 16 September sempena Hari Malaysia turut memberikan makna yang mendalam kepada kewajipan khidmat bakti kepada negara tercinta.
“Salam takziah kepada isteri Allahyarham dan keluarga.
“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman serta beramal soleh,” ujarnya yang juga Exco Kerajaan Kelantan.
Wan Mohd Zahid, 82, meninggal dunia pagi semalam di rumahnya di Kampung Tunku, Petaling Jaya kerana sakit tua. – HARAKAHDAILY 17/9/2022