Pakatan Harapan tidak layak dijadikan rakan politik

- Advertisement -

PAS Selangor menyambut baik ketegasan yang ditunjukkan oleh Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang menjelaskan kenapa PAS menolak sebarang bentuk kerjasama politik dengan pakatan politik perasuah dan tidak moral, PH. PAS Selangor berpandangan bahawa PH bukan sahaja tidak boleh dipercayai oleh rakyat Malaysia, bahkan ia juga tidak layak dijadikan rakan politik oleh mana-mana permuafakatan politik yang ada di negara ini. 

PAS berpengalaman sebagai sekutu dan rakan tahaluf kepada parti-parti yang menganggotai PH, termasuk PAN yang merupakan serpihan kepada PAS. Hubungan politik di antara PAS dengan DAP dan PKR telah terbentuk sejak 1998, dan PAS telah masak dengan kerenah-kerenah mereka sepanjang tempoh kerjasama politik itu, sehingga ia terputus pada 2015. Pengalaman yang dilalui oleh PAS bukanlah cerita dongeng atau khayalan politik, tetapi ia adalah politik realiti yang dilalui oleh PAS dalam mengenal hati budi PH. 

Tidak perlu kami mengulangi mengenai seluruh kelakuan dan tabiat buruk politik mereka dalam memusuhi Islam, meruntuhkan sendi-sendi utama negara serta merosakkan integriti politik dan pentadbiran awam, kerana hal-hal ini telah diperjelaskan sejelas-jelasnya oleh Presiden PAS dalam kenyataannya. Yang penting bagi rakyat Malaysia, bahawa seluruh slogan keadilan, amanah dan integriti yang mereka laungkan selama ini hanyalah pseudo semata-mata. 

Sikap ‘liar’ pemimpin PH dalam membentuk kerjasama politik dan pembohongan mereka kepada rakyat ketika menjadi kerajaan adalah dosa yang sukar dimaafkan. Pembodohan yang cuba mereka lakukan kepada rakyat sebenarnya bukan satu bentuk pemulihan terhadap keadaan politik negara, tetapi ia adalah proses meruntuhkan negara yang cuba dilakukan secara terancang. Pengalaman politik bersama PH tiada bezanya dengan pengalaman menyaksikan ‘tikus membaiki labu,’ bahkan lebih teruk daripada itu. 

Atas asas ini, PAS Selangor menyatakan sokongan dan dukungan padu di atas penegasan Tuan Guru Presiden PAS itu. PAS Selangor melihat bahawa PH bukan sahaja tidak boleh dijadikan rakan politik, bahkan ia perlu ditolak oleh seluruh rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 nanti. 

MOHD FADLI GHANI
Ketua Penerangan PAS Negeri Selangor – HARAKAHDAILY 17/9/2022

- Advertisement -
- Advertisement -