Ayah Chik dan fitnah kahwin: Cerita di sebalik cerita

- Advertisement -

SEHARI dua lalu, kita dipersembahkan oleh satu naratif fitnah yang jahat, dibuat dengan begitu rupa, agar kelihatan imej seorang ulamak yang diiktiraf dunia tercalar akibat daripada sekeping gambar yang diubahsuai berlandaskan nafsu syaitan. Gambar Presiden PAS, Ayah Chik dan anak perempuannya.

Fitnah jahat sebegini kita lihat telah berjalan kira-kira seminggu yang lalu, setelah berehat panjang, akibat daripada kelesuan musuh untuk mencari jalan, bagaimana mahu kembali berkuasa setelah 22 bulan memerintah, yang mereka ketika itu, dengan mudah, diperdayakan Tun Mahathir.

Dengan pengumuman Perdana Menteri bahawa beliau telah mengadakan pertemuan dengan orang penting berkenaan PRU, mereka seolah-olah menyambutnya bagaikan paluan gendang PRU, maka, berita itu diraikan oleh lawan dengan fitnah pembuka gelanggangnya dengan kenyataan PAS tidak mampu membuat himpunan penyokongnya dan terpaksa menggunakan jentera kerajaan, bagi membantunya.

Menteri Agama dari PAS pula diserang kerana dikatakan tiada berperanan. Ironinya yang menyerangnya, si kafir. Sementara dua lagi Menteri PAS, dituduh paling tidak berjaya dalam fungsi mereka di portfolio masing-masing. Tuduhan rasuah RM90 juta, isu pembalakan, pesta arak di Terengganu dikitar semula, mewarnai kanvas lukisan fitnah politik negara. 

Fitnah-fitnah sebegini adalah perkara biasa, bahkan mungkin wajib bagi musuh PAS, sebab jika mereka berkata benar, PAS akan menerima pujian dari rakyat. Senang cakap, macam tolong kempen untuk PAS lah. Jadi kena reka fitnah. Nanti, tidak lama, dekat dengan PRU, akan keluar pula cerita hudud, Amanat Haji Hadi, menu utama kempen PRU, zaman berzaman.

Ayah Chik bukan sekali ini sahaja difitnah berkenaan kahwin dengan perempuan muda. Saya percaya majoriti rakyat Terengganu yang sempat dengan Kerajaan PAS 1999-2004 dahulu, telah dihidangkan dengan cerita fitnah yang hampir serupa.

Sebaik sahaja menang PRU-10, antara fitnahnya ialah Ayah Chik telah berkahwin dengan seorang anak dara berumur 17 tahun. Disebarkan sebegitu rupa, sehinggakan ramai penyokong PAS sendiri percaya. Bukan senang ketika itu mahu memadamkan berita fitnah, kerana masih menggunakan teknologi lama.

Namun, walau bagaimana jahat sekalipun fitnah yang mereka buat, mereka tidak berdaya untuk membuat fitnah berkenaan Ayah Chik membuat dosa. Mereka fitnah Ayah Chik berkahwin muda, kononnya ulamak gatal, bahkan perkahwinan itu bukanlah satu dosa dalam Islam. 

Mereka tidak berani berkata Ayah Chik berzina, mencabul atau yang semakna dengannya. Tidak, mereka tidak boleh, tidak mampu. Kerana cerita itu dari mula lagi, tidak akan dipercayai orang. Malahan sesama mereka sendiri juga mungkin akan mengatakan betapa bodohnya fitnah itu, kerana pastinya tiada yang akan percaya.

Tiada juga mereka berani mendakwa Ayah Chik minum arak, berjudi, menyokong riba, kerana ia terbukti, tiada yang seperti itu diyakini pendengar. Ayah Chik sudah berada dalam keyakinan yang tinggi di hati rakyat, yang beliau tidak akan melakukan hal-hal sedemikian. Bak kata A.R Tompel, kalau nak temberangpun, biarlah yang ‘possible’, ini yang ‘impossible’.

Lainlah jika mereka cipta fitnah yang pimpinan parti lain ada membuat onar-onar sebegitu, ia akan segera dipercayai orang kerana hal sedemikian, sangat sinonim dengan parti yang bukan berasaskan Islam. PKR, DAP sebagai contoh fitnah yang mereka lakukan terhadap almarhum TS Khalid dan kes rasuah Lim Guan Eng yang sedang berlangsung.

Bagaimana bersungguhnya mereka menyebut mengenai integriti, ia tidak semudah lidah mengucapkannya. Ia perlukan kepada istiqamah dengan agama, tali perhubungan dengan Allah yang sentiasa dijaga, sebagaimana Ayah Chik lakukan. Ada pengukur dosa pahala dalam dirinya, yang sumbernya al-Quran dan sunnah.

Dan mengapa pula kita mahu mengagungkan kafir yang megah mendakwa konon dirinya beramanah, sedangkan kita mempunyai sepasukan Muslim yang terbukti penuh integriti seperti yang rakyat Malaysia miliki di Kelantan, Terengganu dan Kedah yang dipimpin oleh Ayah Chik?

Rabu lalu, kebetulannya, saya berjumpa dengan Ayah Chik untuk satu temuramah dan anaknya, YB Ustaz Khalil sendiri, iaitu sehari selepas fitnah ini berlegar di media sosial. Kelihatan jelas mereka begitu tenang dan bersahaja dengan fitnah sebegitu. Ustaz Khalil hanya tersenyum apabila hal itu dibangkitkan, sambil mengatakan beliau tidak mengenali si pemfitnah itu. Ia tidak menjejaskan maruah mereka.

Maruah pemimpin Islam yang istiqamah adalah ibarat benda yang kenyal. Sekuat mana ia ditarik, dilenyek, dihempas, ia pasti akan kembali ke bentuk asal. Ia tidak berubah, tidak hilang fokus kepada salakan-salakan sebegini, malah akan menjadi lebih berbahaya jika lantunan itu kembali kepada pelemparnya. Inilah nilai terhebat pejuang Islam yang Allah kurniakan

Kita sebagai pendukung perjuangan Islam ini, pasti akan berdiri bersama-sama, menyokong Ayah Chik, serta mempertahankan beliau daripada serangan jahat musuh PAS ini. Kita bangga dengan pimpinan jemaah Islam kita.

MOHD NASIR ABDULLAH – HARAKAHDAILY 17/9/2022

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -
- Advertisement -