Sis ajak wanita muda tunai tanggungjawab pengundi

- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH
Foto MUHAMMAD ZHARIF ZULKIFLEE

CYBERJAYA: Peratusan turun mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor terlalu rendah sehingga mendesak Gabungan Wanita Muda Cinta Malaysia melaksanakan projek ‘Sis Turun Undi’ bagi mengajak seluruh wanita muda keluar menjalankan tanggungjawab sebagai pemilih.

- Advertisement -

Pengerusinya, Mardhiyah Johari berkata, pada PRN Johor 12 Mac lalu, jumlah pengundi mencatatkan penambahan 749,731 pengundi berusia 18 tahun ke atas susulan pendaftaran automatik Undi18 yakni berlaku peningkatan kira-kira 28 peratus berbanding hanya 1.8 juta pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Kata Mardhiyah malangnya kadar turun mengundi golongan muda sangat rendah semasa PRN tersebut iaitu di bawah 5 peratus berdasarkan rekod Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Oleh yang demikian, atas dasar kecintaan kepada negara dan kepedulian terhadap proses demokrasi, maka Gabungan Wanita Muda Cinta Malaysia yang dianggotai Ameerah Malaysia bersama hampir 70 NGO hari ini melancarkan projek ‘Sis Turun Undi’.

“Ia diadakan sempena sambutan Hari Malaysia dengan tujuan mewujudkan gelombang kesedaran mengundi bagi golongan muda khususnya wanita,” katanya ketika ditemui Harakahdaily selepas majlis pelancaran program tersebut di sini, hari ini.

Menurut Mardiyah, apabila kadar keluar mengundi tinggi, kepimpinan negara akan dipilih majoriti rakyat Malaysia terutamanya golongan muda yang merupakan generasi masa hadapan.

Katanya mengundi adalah hak dan tanggungjawab warganegara cintakan negara yang mesti diterjemahkan anak muda melalui partisipasi dalam proses demokrasi.

“Kita harap akan dapat penglibatan lebih ramai individu dan NGO. Sekiranya berminat untuk menyertai, boleh layari media sosial, TikTok, Instagram, Facebook, di situ kita ada banyak explaination berkenaan dengan penglibatan ‘Sis Turun Undi’,” katanya.

Majlis pelancaran ‘Sis Turun Undi’ turut diserikan gimik pelancaran wakil NGO menuruni eskalator dengan membawa bendera Malaysia dan kertas demo diikuti tiga duta yang memakai selempang berwarna merah, putih dan kuning.

Diteruskan pula dengan simbolik ‘Sis Turun Undi’ oleh tiga wakil duta yang menurunkan tandatangan dan memasukkan kertas ke dalam peti undi.

Menurut Mardiyah, pelancaran projek yang bermula tengahari tadi melebihi sasaran yang dianggarkan hanya 2,000 orang.

“Alhamdulillah kalau tengok hari ini baru langkah pertama kami sempena pelancaran pun kehadiran begitu ramai dianggarkan hampir 3,000 orang di seluruh Malakat Mall.

“Kami harapkan projek ini akan dapat sambutan lebih meluas lagi di seluruh negara termasuk Sabah Sarawak,” ujarnya.

Program itu dihadiri pendakwah bebas, Ustazah Asmak Husin dan pengasas pusat beli belah Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim. Selain itu ahli Ameerah dari Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan, Kedah, Kelantan, Pahang, Terengganu dan Johor.

Mardiyah berkata, projek kesedaran yang dijalankan bukan sahaja untuk ahlinya bahkan seluruh wanita muda di negara ini.

“Menurutnya juga ketika majlis berlangsung kita minta scan QRcode untuk isi petisyen ‘Sis Turun Undi’, jadi di situ kita minta wanita muda untuk isi petisyen tersebut bagi membolehkan ditambah penglibatan wanita muda dari segenap segmen,” katanya.

Pihaknya turut berharap supaya gelombang kesedaran disambut bukan sekadar di Malakat Mall, namun di seluruh Malaysia supaya proses demokrasi akan melibatkan lebih ramai wanita turun mengundi.

“Kalau boleh kita tak nak tengok peratusan mengundi bawah 5 peratus, kalau boleh biar 90 peratus ke atas supaya pemimpin di negara ini dipilih majoriti rakyat Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/9/2022

- Advertisement -