‘Demo tak kenal barey boh’

- Advertisement -

Oleh DR RIDUAN MOHAMAD NOR

TIGA EMPAT hari ini, galak pemimpin parti-parti PH menyerang Tuan Guru Haji Abdul Hadi, termasuk Tun Mahathir yang mengkafirkan PAS hari ini. Dunia siber juga menggelegak dengan foto Tuan Guru dengan anak bongsu perempuannya yang diedit, disertai dengan komen-komen jelek penyokong PH. Usaha terancang dan bersepadu ini juga cuba menggambarkan Presiden PAS itu melakukan suapan untuk melepaskan diri daripada isu 90 juta. Isu 90 juta adalah isu rekayasa PH untuk menjauhkan rakyat negara ini daripada parti Islam berintegriti itu. Bahang PRU 15 yang semakin hampir menyebabkan pemimpin-pemimpin menyerang Ayah Chik termasuk pemuda-pemuda PAN dan PH melakukan laporan polis terhadap figura dakwah ini dalam isu kenyataan terbaru Tuan Guru akan mengapa PH wajib ditolak oleh umat Islam.

- Advertisement -

Penulis teringat satu perbualan dua tahun lepas usai kuliah subuh di masjid Seberang Marang, Terengganu. Aku diajak bersarapan pagi dengan pemimpin masyarakat setempat, termasuk orang-orang lama Marang. Aroma nasi dagang yang lazat membuka selera pagi dengan kepulan asap wangi teh dan kopi yang menjulang ke langit. Aku memuji masyarakat Marang yang sangat mengimarahkan masjid dan majlis-majlis ilmu. Daerah ini adalah kubu Tuan Guru Presiden PAS sejak zaman datuknya lagi yang merupakan penentang penjajah British.

“Berkat Ayah Chik mengajar ustaz, dulu orang Marang tempat tertentu je, hidup mengamalkan agama seperti sekitar Rusila, kalau sebelah Seberang Marang ni berat jugok” tukas Ayah Mat, orang lama yang merasai hidup meremaja dalam dekad 1960 dan 70an. Ayah Mat ialah seorang guru silat Gayung di daerah ini dan sempat melatih serta mengasuh anakandaku bergayung, Muhamad Jundullah di MDQ Rusila.

“Zaman dahulu kalau masuk bulan Safar, maka adalah acara puja pantai, bersemah semangat laut, tahun 60an rancak lagi …malam-malam pula dengan hiburan gaya lama seperti rodat, makyong, rambong, main puteri, wayang kulit di Marang ini…paling akhir diadakan pada tahun 1975,” sambung Pengerusi Masjid Seberang Marang, seorang ustaz yang juga pimpinan PAS tempatan. Ralik dia mengunyah nasi dagang sambil mengimbau kembali kisah dua zaman di daerah Marang.

Aku menjadi pendengar yang baik, meneliti patah-patah bicara orang-orang lama daerah Marang. Berlabun tentang zaman “jahiliah Melayu” sehingga arus kebangkitan Islam melanda warga Terengganu terutama di daerah Marang. Jalan ceritanya tak jauh lari dengan apa yang berlaku di Besut dalam dekad 60an dan 70an. Puja pantai disambut dalam bulan Safar, dengan tujuan menjamu penunggu laut dengan harapan rezeki nelayan akan melimpah ruah dan tak diganggu semasa mencari rezeki di tengah lautan. Sedangkan Allah, “ar Razzaq” tuhan maha pemberi rezeki serta juga pemilik alam yang berkuasa menentukan mudarat atau kenyamanan.

Kedai arak beroperasi di Jerteh untuk orang Melayu tanpa segan silu atau merasa bersalah meneguk minuman haram itu. Setiap tahun tanpa gagal, funfair, sarkas dengan membawa budaya perjudian, ekspo dengan konsert-konsert artis daripada Lembah Klang memeriahkan masyarakat tempatan yang sudah jauh daripada pengamalan beragama. Iklan arak di media utama, akhbar, majalah juga di kaca tv sehinggalah PAS berjaya mendesak pengharaman iklan-iklan arak di media perdana semasa berada di dalam kerajaan campuran dekad 70an.

Pengamalan hidup beragama hanya dalam pagar pondok pengajian Islam sahaja, masyarakat luar pondok dengan pesona “the blue eyes mentality”. Penghujung dekad 60an dengan Beatlemania yang merasuk anak muda dengan budaya pop daripada Barat, manakala dekad 70an pula fenomena rock klasik dengan kemunculan kumpulan Deep Purple, Santana, The Eagle, Uriah Heep dan yang sama waktu dengannya.

“Ustaz tahu tak?… dulu Tok Guru start mengajar di masjid Rusila tahun 1976, ganti tapak ayahanda dia… ngajar pagi Jumaat dan malam-malam tertentu… bukan ramai mana pun orang pada mulanya” sambung Ayah Mat lagi. “Usrah-usrah berjalan, terutama hok muda-muda dengan semangat Islam, termasuk dekat kilang kayu ambe kerja pun ada usrah dibuat masa rehat tengahari,” leretnya lagi. Usrah adalah matarantai daripada elemen perkaderan dakwah. Aku teringatkan Ustaz Mohamad Nor Harun yang pernah bersama usrah ABIM Terengganu dalam dekad 70an, juga usrah pemuda PAS zaman itu yang kebetulan kedua gerakan anak muda ini dipimpin oleh Ayah Chik.

“Enta tahu dok, zaman tu kadang tamrin kawasan…hanya 10 hingga 15 orang je. Ayah Chik pusing daripada Kemaman ke Besut, setiap minggu kawasan lain-lain. Ana masa muda naik motor daripada KT ke Kemaman, baju basah kena hujan tapi kering atas motor je,” imbau Ustaz Mad Nor yang pernah menjadi calon PAS di Dungun.

Ayah Chik dalam awal dekad 80an terus menjadi fenomena, simbahan kebangkitan Islam yang melanda tanah air serta fenomena yang mendunia turut menguatkan fenomena Tok Guru Haji Hadi. Masjid Rusila menjadi simbol kebangkitan ummah, kehadiran khalayak pada kuliah hari Jumaat mencecah angka puluhan ribu pengunjung. Pernah menjangkau ratusan ribu semasa berlangsungnya Ijtima’ ‘Alami kali pertama.

Orang Marang begitu sayang batang tubuh Ayah Chik, semasa gelombang tangkapan ISA pada tahun 1984 dan 1987, para pemuda menyiapkan tim kawalan untuk menjaga keselamatan Tok Guru. Perkampungan Rusila dijaga dengan rapi, jika nak ambil jasad Ayah Chik maka ambil sekali jasad para pemuda. Awal dekad 80an gaya pemakaian patuh syariah mula melanda tanah Darul Iman, kuliah-kuliah ilmu berjalan di masjid, juga markas-markas tarbiah PAS. Tokoh-tokoh ulama PAS mengajar masyarakat untuk kembali kepada ajaran Islam yang sebenar, menjauhi syirik serta khurafat kesan daripada asimilasi Animisme yang dianuti oleh masyarakat Melayu lima abad lalu.

Mimbar Masjid Rusila menggemakan seruan kembali kepada Islam yang syumul, Ayah Chik seumpama Sheikh Abdul Hamid Kisk di Mesir yang menggegarkan mimbar Jumaat dan menakutkan regim pemerintah. Majalah ASIAWEEK meletakkan gambar Ayah Chik di muka utama majalah berprestij di rantau Asia ini. Tarikan pesona Masjid Rusila seakan Masjid al Azhar di Jakarta saat Buya Hamka mengkuliahkan tafsir al Azhar. Wajah Terengganu berubah dengan pantas dengan kegigihan sang pencerah memberikan ilmu kepada masyarakat terutama ahli-ahli PAS itu sendiri. Tuan Guru menghabiskan seluruh umurnya untuk tiga serangkai kegiatan, siasah, dakwah dan tarbiah. Beliau dihormati dan dianggap tempat rujukan teman-teman pimpinan gerakan Islam sedunia. Bukan sahaja Ikhwanul Muslimin menganggap Ayah Chik sebagai orang tua dalam jamaah yang wajar dimanfaatkan, begitu juga gerakan Islam Turki, Palestine, Sub Continent, Afrika Utara dan pelbagai tempat dalam dunia Islam.

Penulis teringat dalam satu pertemuan dengan tokoh negara Afghanistan, Gulbuddin Hekmatiyar. Hekmatiyar membusung bangga menyebut bahawa beliau menghubungi Ayah Chik dan mendengar pandangan-pandangan Ayah Chik terhadap kepimpinan negara Afghanistan. Apabila pemimpin-pemimpin PH “try hard” menyerang Presiden PAS beberapa hari ini maka kita semua faham, bahawa inilah tokoh yang sedang berusaha untuk menyatukan ummat di negara ini. Tendensi dan nuansa perjuangan Ayah Chik memang diketahui oleh semua tokoh-tokoh gerakan Islam. Usaha Presiden PAS ini bukan sahaja dalam konteks politik negara Malaysia, namun usaha beliau sebelum ini di luar negara seperti menangani isu perpuakan dalam Ikhwanul Muslimin, usaha perdamaian di Acheh, Yaman, Afghanistan, Iraq dan beberapa kes antarabangsa yang lain.

Tun Mahathir pula, dengan usia begitu renta cuba memancing perhatian massa dengan isu takfir yang pernah menggegar tanah air dalam dekad 80an. Penulis tak pasti sama ada Mahathir faham atau tidak pengajaran batas-batas iman dan kufur, yang digerakkan oleh asatizah PAS terutama Ayah Chik dalam dekad 80an. Usaha pencerahan ilmu oleh Ayah Chik inilah yang akhirnya kita menikmati keadaan masyarakat tidak lagi bermudah melecehkan Islam, bahkan hilang sudah acara ritual khurafat orang Melayu seperti puja pantai, mandi Safar, serta pelbagai carut marut kehidupan yang lain.

Pemimpin PH dan anak-anak muda naif yang menyokong mereka cuba menggambarkan Ayah Chik korup, penunggang agama, ekstremis, anti sosial dan pelbagai naratif hitam yang lain. Mereka mungkin tak tahu atau tak sedar, sosok tua dengan jutaan pengikut ini hidup bahagia dengan sederhana. Rumah kayu separa simen berhampiran Pantai Rusila Terengganu adalah tempat beliau melepas lelah, tiada anaknya menjadi jutawan, beliau tiada skandal sepanjang menjadi anggota legislatif. Bahkan mantan Menteri Besar ini hanya makan dan minum paling sederhana kerana tabiat melazimi puasa sunat ini diamalkan semenjak zaman muda lagi.

“demo tak kenal barey boh…try lagi laaa” aku bermonolog dalam ruang sepi hari ini. Berpada-padalah berpolitik, jangan menebeng sangat kata orang Terengganu.

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI) – HARAKAHDAILY 16/9/2022

- Advertisement -