Ramalan banjir besar: Sejauh mana persediaan kita?

- Advertisement -

MENURUT tinjauan cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia dijangka akan berlaku taburan hujan yang agak membimbangkan bermula pada bulan September 2022 ini hingga Mac tahun depan, dan peningkatan taburan hujan dijangka paling tinggi adalah pada bulan November 2022 ini yang melibatkan Negeri-negeri Pantai Timur berikutan peralihan Monsun.

Bertambah buruk lagi, apabila fenomena La Nina yang masih berterusan dan dijangka sehingga awal tahun depan, menyebabkan peningkatan taburan hujan dalam tempoh November hingga Disember ini dan ia turut menyebabkan hujan lebat berlaku di negeri-negeri kawasan Pantai Barat apabila berlaku perubahan tekanan udara rendah akibat luruan monsun.

Bulan September ini kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia dalam keadaan penghujung monsun Barat Daya dan dijangka akan menerima hujan lebih sedikit pada paras purata berbanding di Hulu Perak, Kelantan dan Utara Terengganu yang dijangkakan menerima hujan sedikit bawah purata iaitu antara 100mm hingga 200mm.

Di Sarawak, sekitar daerah Kuching, Samarahan dan Sri Aman dijangka akan menerima hujan sedikit melebihi purata 100mm hingga 200mm berbanding kawasan lain begitu juga di Negeri Sabah dan W.P Labuan.

Keadaan akan berubah sedikit berbeza pada bulan Oktober nanti di mana dalam tempoh ini, keadaan cuaca yang lembap dengan kejadian hujan, ribut petir serta angin kencang lebih cenderung untuk berlaku pada lewat petang dan awal malam terutama di kebanyakan negeri di Semenanjung. Hampir keseluruhan kawasan dijangka akan menerima taburan hujan sedikit bawah purata iaitu di antara 150mm hingga 350mm, kecuali di Negeri Sembilan, Melaka dan Utara Johor.

Di Sarawak pula dijangka hujan pada paras purata iaitu antara 250mm hingga 350mm. Manakala di Sabah, kebanyakan tempat dijangka akan menerima taburan hujan pada paras purata di antara 100mm hingga 400mm.

Monsun Timur Laut lazimnya akan bermula pada bulan November dan semasa tempoh monsun Timur Laut, negara akan menerima tiupan angin yang konsisten dari arah Timur Laut di antara 10 hingga 20 kilometer per jam. Beberapa siri hujan lebat Semenanjung yang menyeluruh juga dijangka akan berlaku terutama di negeri-negeri Pantai Timur Malaysia dan Barat Sarawak.

Dijangka kadar jumlah hujan akan meningkat sehingga 500mm dan kejadian banjir mudah berlaku di kawasan-kawasan rendah dan peralihan Monsun ini juga memberi kesan cuaca hujan pada sebelah pagi di negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung, Barat Sarawak dan Timur Sabah manakala pada sebelah petang, ribut petir atau hujan akan berlaku di negeri-negeri Pantai Barat Semenanjung, pendalaman Sarawak dan Barat Sabah.

Menurut MetMalaysia luruan monsun yang signifikan biasanya akan bermula pada bulan Disember dan sekiranya berlaku luruan monsun sekali lagi ia akan menyebabkan hujan berterusan dengan tempoh yang panjang berlaku di negeri-negeri Lembah Klang yang berpotensi menyebabkan banjir besar boleh berlaku sekali lagi sebagaimana pernah berlaku 18 Disember tahun lepas.

Ramalan ini bukan bersifat untuk menakutkan orang ramai atau diambil sebagai satu berita musibah sehingga berlakunya keadaan panik dan ketakutan kepada rakyat dan seumpamanya.

Namun ia perlu diambil sebagai peringatan kepada kita dalam membuat persediaan menghadapi sebarang kemungkinan, dan bukannya perlu membuat pengumuman darurat awal sedangkan langkah-langkah pembendungan tidak diambil lagi.

Ketika tempoh sekarang ini seluruh agensi kerajaan, Pihak Berkuasa Tempatan dan orang ramai perlu mengambil sikap peka pada keadaan sekeliling antaranya kita ambil tindakan segera jika melihat aliran air parit longkang tersumbat, lebih banyak tambatan banjir perlu dibina di sepanjang sungai terutama di perumahan penduduk kawasan rendah dan perlu pastikan semua pintu kunci air sungai dan sistem amaran banjir diselenggara dengan baik dan sebagainya. 

Bagi semua Ahli Lembaga Pengarah Negeri-negeri, Komandan Jabatan Amal Malaysia Kawasan seluruh negara, diharapkan pihak tuan-tuan dapat mempersiapkan sebaik-baik persediaan.

Arahan bagi tindakan awal ketika ini adalah bagi mengenal pasti kawasan-kawasan panas ‘Hot Spot’ tempat yang sering berlaku banjir, dapatkan maklumat awal jumlah penduduk sekitar dan pastikan seluruh aset jentera operasi kita dalam keadaan siap siaga dan diselenggara dengan baik. 

Segala yang berlaku datangnya dari Allah, kita hanya mampu bersedia dan sama-sama kita memanjatkan doa agar negara kita dilindungi dan dijauhkan dari sebarang bencana dan musibah, terus kekal tenteram, selamat dan diberkati Allah.

“Beramal Kerana Allah”
“Pemuda Generasi Sejahtera” 
“Penyatuan Ummah Menuju Kemenangan”

SHEHDI HAZRIK SHAMSUDIN
Pemangku Ketua Pengarah 
Jabatan Amal Malaysia – HARAKAHDAILY 15/9/2022

- Advertisement -
- Advertisement -