Mesir bebaskan wartawan Al Jazeera yang ditahan

Wartawan Al Jazeera, Ahmed El- Nagdy ditahan oleh kerajaan Mesir sejak Ogos 2020. (FOTO: Ahram Online)
- Advertisement -

Susunan ZULHAIDI MANSOR

KAHERAH: Mesir telah mengarahkan seorang wartawan Al Jazeera, Ahmed El Nagdy yang ditahan di penjara negara itu sejak Ogos 2020 dibebaskan, menurut suatu kenyataan peguamnya, Samir al-Bagoury.

Pembebasan El Nagdy adalah susulan Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sisi mengakhiri lawatan dua hari ke Qatar pada Rabu (14 September), ketika beliau bertemu dengan Emir negara Teluk, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, lapor Al Jazeera.  

- Advertisement -

El Nagdy ialah seorang wartawan dengan Al Jazeera Mubasher, rangkaian unit TV secara langsung yang berpangkalan di Qatar.

Rangkaian media Al Jazeera sebelum ini meminta pihak berkuasa Mesir membebaskan El Nagdy dan tiga rakannya iaitu Hisham Abdel Aziz, Bahauddin Ibrahim dan Rabie el-Sheikh, yang ditahan dalam tahanan ‘tanpa perbicaraan atau pertuduhan’.

Menurut Jawatankuasa Melindungi Wartawan (CPJ), Aziz ditahan pada Jun 2019, Ibrahim pada Februari 2020, dan Al Sheikh pada Ogos 2021, yang mana ketiga-tiga mereka telah disyaki mempunyai ‘keahlian kumpulan yang dilarang’ dan bertindak ‘menyebarkan maklumat palsu’ mengenai Qatar.

Tariq el-Awady, ahli jawatankuasa pengampunan presiden di Mesir, menulis di akaun Twitter bahawa dia mengalu-alukan keputusan Pendakwa Raya Mesir untuk membebaskan wartawan Al Jazeera yang ditahan dalam tahanan praperbicaraan.

Ahmed El Nagdy merupakan wartawan dengan rangkaian unit TV secara langsung yang berpangkalan di Qatar, Al Jazeera Mubasher.

Menurut English Al Araby pula walau bagaimana pun nasib rakan-rakan Al-Najdi yang ditahan iaitu Hisham Abdel Aziz, Bahauddin Ibrahim dan Rabie el-Sheikh, masih tidak jelas, walaupun Al Jazeera mengesahkan mereka ditahan ‘tanpa perbicaraan atau pertuduhan’.

Rekod hak asasi manusia Mesir kerap dikecam, dengan kumpulan mengatakan terdapat 60,000 tahanan politik, kebanyakannya ditahan atas tuduhan ‘menyebarkan berita palsu’.

Di Kaherah, di mana sekurang-kurangnya 20 wartawan telah dipenjarakan, menjadikan Mesir kini menduduki tempat ke-168 daripada 180 negara dalam data indeks kebebasan akhbar yang disusun oleh Reporters Without Borders. – HARAKAHDAILY 15/9/2022

- Advertisement -