Menteri DAP paling ‘cekap’?

- Advertisement -

KELMARIN pemimpin utama DAP, Lim Guan Eng mendakwa 3 Menteri PAS merupakan antara Menteri yang tidak cekap yang berada dalam kerajaan hari ini.

Secara tidak langsung, ianya memberi makna sekalian Menteri DAP pada zaman 22 bulan Kerajaan PH dahulu Menteri yang amat luar biasa hebat, cekap lagi berkaliber.

Ya, sememangnya Menteri DAP paling cekap khususnya Lim Guan Eng. Seawal tahun pertama dia bergelar Menteri Kewangan, dia dengan cekap sekali memotong bantuan subsidi untuk masyarakat luar bandar iaitu golongan petani, nelayan, pekebun kecil dan penoreh getah dalam Belanjawan 2019.

Peruntukan untuk Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Kementerian Industri Utama dipotong dengan begitu drastik sekali.

Elaun sara hidup nelayan dan insentif hasil tangkapan nelayan dipotong peruntukannya lebih 50 peratus. Subsidi baja pertanian dan insentif pengeluaran padi dipotong sehingga 50 peratus. Program bantuan musim tengkujuh untuk pekebun kecil dan penoreh getah dimansuhkan.

Tatkala kementerian yang begitu dekat dengan masyarakat luar bandar khususnya orang Melayu-Islam dipotong peruntukannya, Kementerian Kewangan yang diterajui oleh Menteri DAP boleh pula mendapat pertambahan. Memang cekap bukan?

Sebab itu antara jasa besar Menteri DAP yang perlu dikenang oleh rakyat Malaysia sampai bila-bila ialah bantuan RM30.

Kita juga pasti tidak lupa akan kecekapan Menteri Kewangan DAP dalam pengiraan sehinggakan dia sendiri silap titik perpuluhan ketika berucap di Parlimen.

Sebelum Lim Guan Eng kian galak menyerang Menteri PAS, lebih baik dia fokus kepada urusan perbicaraan kes rasuah yang sedang dia hadapi. Senyum ketika terima sampul duit rasuah itu tanda dia memang cekap bukan? 

Tiga Menteri PAS yang ada hari ini menjaga portfolio hal ehwal agama, alam sekitar dan air serta tenaga dan sumber asli.

Lim Guan Eng memang cekap dalam menghasut kerana dia mendakwa 3 Menteri PAS ini mempergunakan agama, pemecah perpaduan dan ekstremis yang mengganggu-gugat hak orang bukan-Islam.

Sesungguhnya, Islam adalah Ad-Din agama yang sempurna, lengkap panduan cara hidup insan dalam segenap aspek kehidupan. Budaya pesta mabuk minum arak, berjudi yang diperjuangkan oleh DAP adalah amalan yang bukan sahaja merosakkan individu yang mengamalkannya tetapi ketenteraman masyarakat awam juga terancam.

Adakah salah untuk PAS menegur budaya kemungkaran sedemikian rupa? Dulu ketika DAP bersama PAS dalam Pakatan Rakyat, Lim Guan Eng sendiri menyebut mahu memperjuangkan amar makruf nahi mungkar dalam pemerintahan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang. Sudah lupa ke berpura-pura sahaja menggunakan slogan itu?

SYED AHMAD FADHLI – HARAKAHDAILY 15/9/2022

- Advertisement -
- Advertisement -