Mengapa PAS menolak Pakatan Harapan?

SEJAK awal lagi, PAS menolak untuk bersama Pakatan Harapan (PH) apabila dijemput menyertainya sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), kerana PAS mempunyai pengalaman yang paling lama dalam bertahaluf dengan beberapa parti yang ada bersamanya.

Secara tegasnya, PAS menolak mudarat politik yang lebih besar dalam PH dan lebih parah akibatnya kepada negara yang boleh merobohkan asasnya, sehinggakan ia boleh mematahkan cabang-cabangnya yang penting. Khususnya, hubungan masyarakat majmuk menjadi rapuh, dan menyentuh perkara negatif berkenaan dasar dan konsep negara yang lebih banyak dibandingkan dengan Barisan Nasional (BN).

Keadaan sedemikian dapat dirasakan dalam tempoh PH memegang Kerajaan Pusat, walaupun terlalu singkat masanya jika dibandingkan dengan BN yang paling lama dan panjang masanya memegang Kerajaan Pusat sejak merdeka sehingga ditolak oleh rakyat dalam PRU-14 kerana salah laku dan rasuah.

Ramai dalam kalangan PH yang tidak beriman (beraqidah) dan bermoral (berakhlak) secara terbuka, mengumpulkan kumpulan pemberi rasuah dan penerima rasuah.

Paling ramai pihak yang melompat parti bukan alasan yang berprinsip, tetapi mengejar janji-janji manis dan janji bohong (seperti rasuah juga). Mereka mengamalkan politik dendam melalui kenyataan terbuka yang mengganggu-gugat urusan pentadbiran negara dan menyusahkan badan kehakiman.

Advertisement

Malah, dalam PH terkumpul kalangan mereka yang nyata bersikap anti-Islam, mengancam institusi raja-raja, rukun negara, dan asas-asas Perlembagaan Persekutuan khususnya kemuliaan Islam sebagai agama bagi persekutuan. Bahkan, terdapat juga kalangan yang fanatik bencikan Melayu dan bumiputera, tanpa peduli adanya hak terhadap agama lain dan berbagai-bagai kaum yang sudah mencukupi.

Islam yang menjadi aqidah perjuangan PAS menetapkan bahawa politik tidak berpisah daripada agama yang ada perhitungan dosa dan pahala serta dibawa ke alam akhirat. Maka, wawasan PAS tidak tamat sekadar melepaskan harapan di alam dunia.

PAS tetap mempertahankan hak Melayu, bumiputera dan Islam, termasuklah bahasanya menjadi teras kepimpinan negara ini tanpa menghapuskan bangsa dan bahasa lain. Perkara ini adalah mengikut ketetapan Allah SWT sebagaimana firman-Nya:

﴿وَمِنۡ ءَايَٰتِهِۦ خَلۡقُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱخۡتِلَٰفُ أَلۡسِنَتِكُمۡ وَأَلۡوَٰنِكُمۡۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَأٓيَٰتٖ لِّلۡعَٰلِمِينَ٢٢﴾

“Dan antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah menciptakan langit dan bumi serta berlainan bahasa dan warna kulit kalian. Sesungguhnya, pada hal yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang mengetahui.” (Surah al-Rum: 22)

Walaupun begitu, Islam mengajar bangsa Melayu ini agar tidak bersikap fanatik perkauman yang dapat disaksikan dalam masyarakat Malaysia.

PAS menentang teori ‘Malaysian Malaysia’ dan menentang sikap fanatik perkauman kerana kedua-duanya bercanggah dengan Islam dan fitrah manusia. PAS menegaskan kalau ada sesiapa yang membuat kenyataan orang Melayu ini bersifat perkauman, halaukan dia kerana tidak mengenang budi.

Bersama dalam PH, parti-parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) yang menegaskan ideologi sekularnya secara terbuka, sehinggakan mereka menolak prinsip agama dalam politik. Selain itu, ada dalam kalangan mereka yang bersikap pragmatik mahu berkuasa semata-mata tanpa ideologi yang ingin diperjuangkan, menyebabkan mereka menjadi hanyut dan mudah melompat.

PAS mengikat pemimpin dan mentarbiah ahli dengan baiah yang lebih kukuh daripada undang-undang lompat parti. Baiah tidak boleh dirungkai dengan mudah disebabkan perkara cabang dan pendekatan yang berbeza, selagi tidak melanggar perkara dasar yang menjadi aqidah perjuangan.

Hanya yang gagal ujian selepas baiah terlompat atau melompat dan masuk dalam bakul PH. Amaran Allah SWT yang menjadi ingatan yang sangat mengikat ialah sebagaimana firman-Nya:

﴿إِنَّ ٱلَّذِينَ يُبَايِعُونَكَ إِنَّمَا يُبَايِعُونَ ٱللَّهَ يَدُ ٱللَّهِ فَوۡقَ أَيۡدِيهِمۡۚ فَمَن نَّكَثَ فَإِنَّمَا يَنكُثُ عَلَىٰ نَفۡسِهِۦۖ وَمَنۡ أَوۡفَىٰ بِمَا عَٰهَدَ عَلَيۡهُ ٱللَّهَ فَسَيُؤۡتِيهِ أَجۡرًا عَظِيمٗا١٠﴾

“Bahawasanya orang-orang yang berjanji setia kepadamu (wahai Muhammad), sesungguhnya mereka itu berjanji setia kepada Allah. Tangan Allah di atas tangan-tangan mereka; maka sesiapa yang melanggar janjinya, nescaya akibat daripada melanggar janji itu akan menimpa ke atas dirinya sendiri. Dan sesiapa yang menepati janjinya kepada Allah, maka Allah akan memberikan kepadanya suatu pahala yang besar.” (Surah al-Fath: 10)

Ada juga yang lantang menentang usaha PAS dalam melaksanakan Islam secara demokrasi, sehingga mereka terus mempertahankan undang-undang warisan penjajah dan sistem kehakimannya yang rapuh. Maka, perlu dibatalkan perkara tersebut kerana menjadi penghalang kepada pelaksanaan hukum Islam yang adil kepada semua dan wajib ke atas umat Islam untuk menegakkannya.

Kemenangan PH melalui manifesto yang ditawarkan pelbagai janji yang tidak ditunaikan seperti janji menghapuskan tol, menangguh bayaran balik PTPTN dan lain-lain, adalah suatu penipuan dan pembohongan yang menghilangkan sifat ‘adalah (adil) yang menjadi syarat penting dalam ajaran Islam, sekali gus menghilangkan kelayakan berpolitik dan berdosa sebagaimana perbuatan rasuah juga.

Pengalaman PAS bertahaluf siyasi dengan beberapa parti komponen dalam PH, memberikan suatu pengalaman yang cukup matang kepada PAS untuk mengenalinya secara lebih dekat dan terang lagi bersuluh. Betapa mereka cuba menghalang perjuangan Islam yang menjadi pegangan PAS yang wajib beristiqamah.

PAS juga pernah bertahaluf dengan pihak lain sama ada berhaluan kanan mahupun kiri, sejak sebelum merdeka sehingga selepasnya. PAS tidak pernah sekali-kali melanggar perjanjian yang dimeteraikan dan tidak boleh diheret keluar daripada landasannya.

Namun, PAS tetap utuh melangsungkan bahtera perjuangannya, dan beberapa parti yang menjadi parti serpihannya hilang dalam lipatan sejarah. PAS tidak pernah rugi dari sudut ahli, pengikut dan pemimpinnya, walaupun beberapa kali kehilangan kerusi dan negeri yang pernah dimenangi. Firman Allah SWT:

﴿أَلَمۡ تَرَ كَيۡفَ ضَرَبَ ٱللَّهُ مَثَلٗا كَلِمَةٗ طَيِّبَةٗ كَشَجَرَةٖ طَيِّبَةٍ أَصۡلُهَا ثَابِتٞ وَفَرۡعُهَا فِي ٱلسَّمَآءِ٢٤ تُؤۡتِيٓ أُكُلَهَا كُلَّ حِينِۢ بِإِذۡنِ رَبِّهَاۗ وَيَضۡرِبُ ٱللَّهُ ٱلۡأَمۡثَالَ لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمۡ يَتَذَكَّرُونَ٢٥﴾

“Tidakkah kamu memperhatikan bagaimana Allah telah memberi perumpamaan kalimah yang baik itu seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya (menjulang) ke langit. (24); Pohon itu menghasilkan buahnya pada setiap musim dengan izin Tuhannya. Allah memberi perumpamaan-perumpamaan itu untuk manusia supaya mereka selalu ingat. (25)” (Surah Ibrahim: 24-25)

PH yang berdegar-degar menentang rasuah dan salah laku, namun sewaktu mereka memerintah dan berkuasa terlalu lemah dalam menanganinya kerana sikap pragmatik dan sekularnya menjadikan mereka lebih berkocak sesama sendiri. Hal ini disebabkan mereka lebih sibuk berebut jawatan Perdana Menteri dan lain-lain.

Bahkan, mereka mengambil tindakan secara terpilih, sehingga ada dalam kalangan mereka yang ditamatkan proses mahkamah di pertengahan jalan. Malah, ada juga tidak meneruskan pendakwaan yang sangat meragukan, begitu juga ada yang dipilih untuk diteruskan sehingga memakan masa kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang menerima bebanan selepasnya. Ada pula seolah-olah media juga menjadi hakim dan seterusnya.

Pengampunan terhadap pemimpin pilihan idaman kalbunya yang telah disabitkan di mahkamah, adakah mengikut proses yang telah ditetapkan oleh Lembaga Pengampunan dengan sempurna? Hal itu sangat meragukan, walaupun dari segi moralnya, bahawa berusaha mendapatkan pengampunan itu bermakna mengaku salah secara nyata.

Tommy Thomas yang merupakan Peguam Negara (AG) ketika itu perlu memberikan penjelasan tentang perkara tersebut (saya membaca tulisan Tun Abdul Hamid, mantan Ketua Hakim Negara yang banyak memberikan penjelasan).

Dalam konsep kehakiman, Islam menetapkan sifat dan keadaan yang benar-benar menyeluruh, agar proses keadilan terhadap semua pihak berlaku dalam keadaan tidak diganggu oleh perasaan yang negatif pada diri semua pihak yang terlibat dalam proses kehakiman, daripada hakim sehinggalah saksi yang tidak fasiq, termasuk yang fasiq itu penyumbang rasuah, sehingga Islam mengambil kira iman, akhlak, sehinggalah perasaan mereka yang terlibat dalam mengendalikan mahkamah itu, tidak dalam keadaan lapar, dahaga ketika marah, lebih-lebih lagi dendam dan sebagainya.

Allah yang membicarakan hamba-Nya di Padang Mahsyar tidak menjatuh hukuman dengan ilmu-Nya sahaja, sehingga dibawa suratan amal catatan para malaikat, segala saksi para malaikat yang mulia dan lain-lain, sehinggalah rakaman pada jasad manusia. Firman Allah:

﴿ٱلۡيَوۡمَ نَخۡتِمُ عَلَىٰٓ أَفۡوَٰهِهِمۡ وَتُكَلِّمُنَآ أَيۡدِيهِمۡ وَتَشۡهَدُ أَرۡجُلُهُم بِمَا كَانُواْ يَكۡسِبُونَ٦٥﴾

“Pada hari ini, Kami paterikan mulut mereka; dan berkatalah kepada Kami tangan-tangan mereka dan kaki mereka memberi kesaksian terhadap apa yang dahulu mereka usahakan.” (Surah Yasin: 65)

Namun begitu, keampunan dan rahmat Allah SWT kepada mereka yang beriman mengatasi kemurkaan-Nya, bukanlah menjadi dendam-Nya. Amal baik yang pernah dilakukan seseorang itu membatalkan dosanya, sekiranya dia beriman dan bertaubat.

PH tidak mampu menegakkan keadilan yang menyeluruh kepada rakyat, walaupun dalam gabungannya terdapat parti yang menjadikan keadilan dan amanah pada jenamanya. PAS sentiasa memerhatikan sejak awal segala pendekatan PH yang tidak beradab terhadap jentera kerajaan dan rakyat sangat tidak sopan, melebihi kelemahan yang berlaku kepada BN yang menjadi sebab kejatuhannya.

PAS tidak bersedia untuk memasuki khemah besar PH kerana tidak boleh memberikan kepercayaan kepadanya untuk mengubati penyakit salah laku dan rasuah yang membarah dalam BN sehingga menumbangkannya. Hal ini demikian kerana, tokoh-tokoh yang sama di dalamnya menjadi punca rasuah tersebut serta mencipta tokoh-tokoh muda yang diajar dengan amalan rasuah.

Bagaimana pengundi muda boleh mengangkat individu sepertinya menjadi penentang rasuah dan salah laku?

Penyelesaiannya laksana perhitungan dua campur dua dan dua kali dua, jawapannya sama iaitu empat (2 + 2 = 4 / 2 x 2=4).

Maka, PAS menolak PH kerana kerajaannya laksana pokok yang tidak berakar tunjang dengan teguh. Faktor itu menjadi sebab kuasanya boleh dicabut dengan mudah atau tumbang menghempap siapa sahaja. Firman Allah SWT:

﴿وَمَثَلُ كَلِمَةٍ خَبِيثَةٖ كَشَجَرَةٍ خَبِيثَةٍ ٱجۡتُثَّتۡ مِن فَوۡقِ ٱلۡأَرۡضِ مَا لَهَا مِن قَرَارٖ٢٦﴾

“Dan perumpamaan kalimah yang buruk seperti pohon yang buruk, yang telah dicabut dengan akar-akarnya dari permukaan bumi; tidak dapat tetap (tegak) sedikit pun.” (Surah Ibrahim: 26)

PAS beristiqamah menentang segala dosa besar dan dosa kecil, termasuklah rasuah dan segala jenis salah laku yang berlaku di semua peringkat. PAS menanganinya dengan pendekatan Islam yang sempurna dan holistik, daripada pendidikan yang sempurna dari sudut roh dan jasad, individu dan masyarakat. Termasuklah melalui media yang berakhlak, bukan sahaja sistem kehakiman yang benar-benar sempurna dan hukuman yang adil, tegas dan mendidik berkonsepkan Hakimiyah Allah (tiada sesiapa boleh mengatasi undang-undang Allah). Rasulullah SAW sendiri mendedahkan dirinya agar dihukum sekiranya bersalah.

PAS dengan kemampuan mentadbir kerajaan negeri dan beberapa kementerian yang diamanahkan dengan bidang kuasa yang terhad tetap berusaha membuktikan Islam sahaja berjaya mencipta integriti yang sebenarnya, tidak palsu dan berpura-pura.

Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) tanpa dendam menjadi pegangan PAS, walaupun PAS merupakan parti yang paling ramai pemimpin dan ahlinya menjadi mangsa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sejak zaman penjajah sehinggalah merdeka. Bahkan, ada yang mati terkorban bukan sahaja ditahan dan dibuang daerah.

Malah, ada yang dibuang kerja, bukan sahaja diturunkan pangkat dan ditukar ke tempat yang jauh. Sehinggalah, dirompak hak royalti petroleum Terengganu yang bersejarah dan dinafikan hak royalti petroleum Kelantan, hak rakyat biasa serta pelajar yang menyokong PAS. Apa yang tidak dilakukan kepada Singapura ketika berada dalam Malaysia dan Sabah ketika Parti Bersatu Sabah (PBS) memerintah negeri itu.

Inilah petunjuk yang menjadi pegangan PAS daripada firman Allah SWT:

﴿وَمَنۡ أَحۡسَنُ قَوۡلٗا مِّمَّن دَعَآ إِلَى ٱللَّهِ وَعَمِلَ صَٰلِحٗا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ ٱلۡمُسۡلِمِينَ٣٣ وَلَا تَسۡتَوِي ٱلۡحَسَنَةُ وَلَا ٱلسَّيِّئَةُۚ ٱدۡفَعۡ بِٱلَّتِي هِيَ أَحۡسَنُ فَإِذَا ٱلَّذِي بَيۡنَكَ وَبَيۡنَهُۥ عَدَٰوَةٞ كَأَنَّهُۥ وَلِيٌّ حَمِيمٞ٣٤ وَمَا يُلَقَّىٰهَآ إِلَّا ٱلَّذِينَ صَبَرُواْ وَمَا يُلَقَّىٰهَآ إِلَّا ذُو حَظٍّ عَظِيمٖ٣٥ وَإِمَّا يَنزَغَنَّكَ مِنَ ٱلشَّيۡطَٰنِ نَزۡغٞ فَٱسۡتَعِذۡ بِٱللَّهِۖ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡعَلِيمُ٣٦﴾

“Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah (Islam), mengerjakan amal yang soleh, dan berkata: ‘Sesungguhnya, aku termasuk dalam kalangan orang-orang yang menyerah diri (Islam)?’ (33); Dan tidaklah sama antara kebaikan dengan kejahatan. Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik, sehingga orang yang ada rasa permusuhan antaramu dan dengannya itu seolah-olah telah menjadi teman yang sangat setia. (34); Dan (sifat-sifat yang baik itu) tidak akan dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang sabar dan tidak dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang mempunyai keuntungan yang besar. (35); Dan jika syaitan mengganggumu dengan suatu gangguan, maka mohonlah perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya, Dialah Tuhan yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (36)” (Surah Fussilat: 33-36)

Inilah politik BPMS yang adil tanpa menaruh dendam kesumat. Rasulullah SAW telah membuktikan pelaksanaan petunjuk Allah SWT ini ketika Baginda mengisytiharkan pengampunan beramai-ramai sewaktu berlakunya Fathu Makkah dalam keadaan dirinya berkuasa setelah mencapai kemenangan yang besar.

Apa yang ditunjukkan oleh Islam itu jauh bezanya dengan kemenangan Revolusi Perancis, Revolusi Komunis Soviet, China dan lain-lain. Termasuklah kemenangan dalam Perang Dunia yang menjadi kebanggaan dunia Barat.

Islam diterima kerana rahmat dan adilnya, bukan kerana takutkan kezalimannya. Fitnah yang mencipta Islamofobia akhirnya terdedah juga.

Firman Allah SWT:

﴿أَنزَلَ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءٗ فَسَالَتۡ أَوۡدِيَةُۢ بِقَدَرِهَا فَٱحۡتَمَلَ ٱلسَّيۡلُ زَبَدٗا رَّابِيٗاۖ وَمِمَّا يُوقِدُونَ عَلَيۡهِ فِي ٱلنَّارِ ٱبۡتِغَآءَ حِلۡيَةٍ أَوۡ مَتَٰعٖ زَبَدٞ مِّثۡلُهُۥۚ كَذَٰلِكَ يَضۡرِبُ ٱللَّهُ ٱلۡحَقَّ وَٱلۡبَٰطِلَۚ فَأَمَّا ٱلزَّبَدُ فَيَذۡهَبُ جُفَآءٗۖ وَأَمَّا مَا يَنفَعُ ٱلنَّاسَ فَيَمۡكُثُ فِي ٱلۡأَرۡضِۚ كَذَٰلِكَ يَضۡرِبُ ٱللَّهُ ٱلۡأَمۡثَالَ١٧﴾

“Allah telah menurunkan air (hujan) dari langit, maka mengalirlah air di lembah-lembah menurut ukurannya, maka arus itu membawa buih yang mengambang. Dan daripada apa (logam) yang mereka leburkan dalam api untuk membuat perhiasan atau alat-alat, ada (pula) buihnya seperti buih arus itu. Demikianlah, Allah memberi perumpamaan (tentang) yang benar dan yang batil. Adapun buih itu, akan hilang sebagai sesuatu yang tiada harganya; adapun yang memberikan manfaat kepada manusia, maka ia tetap ada di bumi. Demikianlah, Allah memberi pelbagai perumpamaan.” (Surah al-Ra‘d: 17)

Sabda Rasulullah SAW:

‌خِيَارُهُمْ ‌فِي ‌الجَاهِلِيَّةِ ‌خِيَارُهُمْ ‌فِي ‌الإِسْلَامِ، ‌إِذَا ‌فَقُهُوا.

“Tokoh pilihan ketika jahiliah tetap dipilih bersama Islam, sekiranya mereka faham.” (Riwayat al-Bukhari 3353 dan Muslim 2378)

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 18 Safar 1444 / 15 September 2022 – HARAKAHDAILY 15/9/2022