KUALA LUMPUR: Melaka melakukan pecutan awal apabila menguasai gelanggang wusyu dengan menduduki carta teratas pada hari pertama acara menawarkan pingat pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 dipertandingkan hari ini.
Kem Melaka beraksi cemerlang di Gimnasium 2, Majlis Sukan Negara (MSN) apabila menyapu lima daripada tujuh emas yang dipertandingkan di gelanggang wusyu selain turut merangkul dua perak dan sebutir gangsa.
Atlet berusia 18 tahun, Bryan Ti Kai Jie menghadiahkan emas pertama menerusi acara nanquan lelaki.
Koleksi emas Melaka turut disumbangkan oleh Sydney Chin Sy Xuan menerusi acara taijijian wanita, Tan Pei Ler (nanquan wanita), Tammy Tan Hui Ling (jianshu wanita) dan Ang Qi Yue (jianshu lelaki).
Jiran di Selatan, Johor mengikuti rapat apabila merangkul empat emas dan tiga perak menerusi wusyu dan penguasaan dalam acara berbasikal lebuh raya.
Tan Zhen Jie dan Lee Jia Rong masing-masing muncul juara acara daoshu lelaki dan wanita bagi sukan wusyu.
Di Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan, Muhammad Nur Aiman Rosli dan Siti Nur Adibah Akma Mohd Fuad masing-masing menguasai acara ujian masa individu lelaki dan wanita.
Wusyu kekal sebagai sukan tumpuan esok dengan menawarkan lapan pingat emas manakala olahraga dan karate membuka tirai dengan masing-masing menawarkan tujuh dan dua emas.
Berbasikal lebuh raya pula menawarkan emas dalam acara lepas beramai-ramai individu dan berpasukan lelaki. – BERNAMA