Setahun berlalu PKPD Kuala Kedah

- Advertisement -

SEWAKTU COVID-19 melanda negara Malaysia. Mungkin orang Kuala Kedah tak dapat melupakan fasa-fasa sukar sewaktu tempoh PKPD (Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan) yang telah dikuatkuasakan di Kuala Kedah.

Bagaikan mimpi ngeri! Bermula dari 6 September 2021 maka bermula lah episod sukar buat warga Kuala Kedah. Tidak dinafikan masyarakat setempat rata-ratanya bekerja sebagai nelayan, yang mencari pendapatan setiap hari demi menyara keluarga tercinta.

Akibat daripada PKPD yang dilaksanakan, sudah tentu membawa kegusaran di hati penduduk kampung. Saya juga masih tidak boleh melupakan apa yang berlaku di ketika itu. Deringan telefon sentiasa saya terima setiap hari, tak kira siang ataupun malam.

Apabila masuk sahaja hari ke 3, ada yang mengadu kesedihan, ada juga yang sudah kepenatan menanti hari untuk keluar dari kegelapan PKPD.

Bagai sinar di hujung terowong. PAS Kawasan Kuala Kedah bersama NGO-NGO yang terlibat segera mengambil tindakan. Kami mengadakan perbincangan susulan setelah mendapat kebenaran pihak berkuasa untuk masuk ke lokaliti tersebut bagi membantu penduduk kampung.

Lebih kurang 20 buah kampung dan Taman kami sasarkan. Terus kami menghubungi wakil cawangan PAS yang turut sama mengalami fasa penderitaan PKPD.

Usai itu, boleh dikatakan setiap hari PAS Kuala Kedah akan menghantar pasukan sukarelawan untuk menghulurkan sumbangan. Daripada ratusan bakul makanan, menjadi ribuan bakul bantuan.

Satu per satu rumah diketuk, dihulurkan kepada warga Kuala Kedah. Ada yang menangis teresak-esak. Ada pula yang mengusapkan air mata. Hati kami luluh melihat dugaan yang dihadapi.

Macam-macam bantuan kami berikan, daripada barangan dapur hinggalah keperluan asas mandian. Lampin bayi, susu, tuala wanita. Semuanya kami berikan. Bukan pada penduduk sahaja, malah pada penguatkuasa juga kami berikan makanan setiap hari. Terima kasih frontliners.

Dari mana duit bantuan? Alhamdulillah, atas usaha sama duit poket ahli PAS kami bantu dan hulurkan. Dalam rezeki PAS ada rezeki yang dihulurkan kepada rakyat di luar sana. Begitu juga rakan-rakan NGO dan Perhubungan PAS Kedah yang cakna serta membantu kami di Kuala Kedah.

Selepas sahaja memasuki 19 September 2021. Kami selaku sukarelawan menghembuskan nafas lega. Misi bantuan kami turut berakhir pada hari terakhir PKPD dikuatkuasakan.

Inilah pengalaman yang kami ukirkan sebagai sejarah. Kepada Allah jua kami berserah, membantu mereka yang tidak berdaya.

DR USTAZ AHMAD FAKHRUDDIN SHEIKH FAKHRURAZIYang Dipertua
PAS Kawasan Kuala Kedah – HARAKAHDAILY 13/9/2022

- Advertisement -
- Advertisement -