Wahai lelaki, muliakanlah wanitamu

- Advertisement -

SAYU, marah dan terkejut apabila negara digemparkan dengan kes gangguan seksual dalam keluarga. Keluarga Sejahtera bermula daripada peranan seorang ayah dan suami memuliakan hak wanita. Sesungguhnya Allah S.W.T berfirman:

- Advertisement -

‎هُنَّ لِبَاسٌ لَّكُمْ وَأَنتُمْ لِبَاسٌ لَّهُنَّ

Isteri-isteri kamu itu adalah seumpama pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka.” 

(al-Baqarah: 187)

Wahai sang suami, sesungguhnya Allah jadikan pakaian itu sebagai satu perumpamaan dalam al-Quran kerana pakaian itu melambangkan kecantikan, kemuliaan dan kehormatan pemakainya.

Wahai sang suami, sesungguhnya Rasulullah S.A.W memuliakan wanita dengan sifat lemah lembutnya. Dalam sebuah perjalanan, Rasulullah pernah membawa Anjasyah sebagai jurupandu unta buat isteri-isteri Baginda. 

Ketika melihat Anjasyah membawa unta dengan laju, Rasulullah mengarahkan Anjasyah supaya memperlahankan unta tersebut kerana khuatir boleh menyakiti isteri-isteri Baginda. Sabda Rasulullah:

‎رُوَيْدَكَ يَا أَنْجَشَةُ، سَوْقَكَ بِالْقَوَارِيرِ 

Perlahan sedikit wahai Anjasyah, sesungguhnya (di atas tunggangan itu adalah wanita yang seperti) kaca-kaca (yang dimaksudkan adalah para isteri Baginda).”

Wahai sang suami, lihatlah bagaimana Rasulullah mengangkat martabat isteri-isteri Baginda. Anas bin Malik meriwayatkan, beliau pernah melihat Rasulullah S.A.W menyediakan lapik tunggangan buat Sofiyyah supaya beliau dapat duduk dalam keadaan yang selesa. 

Baginda S.A.W juga duduk sedikit supaya Sofiyyah boleh memijak lutut Baginda untuk dia naik ke atas tunggangannya.

Begitulah Islam datang memuliakan wanita sehingga adanya Surah al-Nisa’ yang memperincikan perihal mereka. Muliakanlah mereka kerana mereka adalah lambang keperibadian kita.

YB DATUK AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 12/9/2022

- Advertisement -