Masjid Kg Laut: Berkat Wali Songo, simbolik Penyatuan Ummah

- Advertisement -

PERASMIAN masjid tertua bersejarah, Masjid Kampung Laut yang berusia lebih 400 tahun yang dipindah balik ke tempat asal di Tumpat oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, 3 hari lepas pada 9 September 2022  amatlah bermakna apabila dihadiri oleh 4 orang Menteri Besar bagi negeri-negeri berpantai Timur.

Majlis ini sudah tentu menjadi kegembiraan buat Menteri Besar Kelantan, YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob sebagai tuan rumah apabila majlis perasmian tersebut disaksikan oleh ahli-ahli Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) termasuk 3 Menteri Besar sebagai tetamu iaitu Menteri Besar Terengganu, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Besar Johor, YAB Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Dalam ucapan Menteri Besar Kelantan, beliau merakamkan ucapan terima kasih atas kesudian Perdana Menteri hadir merasmikan Laman Warisan Kampung Laut yang telah mengubah wajah Kampung Laut menjadi pusat pelancongan warisan yang penting di Negeri Kelantan.

Di samping itu beliau menjelaskan bahawa kerjasama semua pihak khususnya antara kerajaan negeri dan pusat serta ECERDC akan dapat membantu lebih banyak pembangunan sosio ekonomi untuk rakyat Kelantan.

Perasmian ulung bersempena masjid bersejarah ini dengan kehadiran 5 pemimpin utama masing-masing mewakili Malaysia dan negeri-negeri berteras Melayu Islam yang berada di jajaran pantai dapat dilihat sebagai simbolik Penyatuan Ummah. 

Ini membuktikan bahawa demi kepentingan sosio-ekonomi serantau, apa sahaja sentimen, dilema atau konflik tatkala PRU15 semakin hampir ini, semua pimpinan dapat bersatu di bawah bumbung keberkatan masjid binaan Wali Songo ini.

Sejak beberapa bulan lepas saya didedahkan berkaitan hal masjid ini. Saya hanya melihat-lihat di hujung mata dan di pinggir telinga. Waktu itu saya belum sedar apa istimewanya antara masjid ini. Hanya sekadar mendengar namanya. 

Saya amat tertarik dengan penjelasan Dr Aizan binti Ali, Pensyarah Kanan, Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya dalam tulisan beliau yang disiarkan di portal https://www.bebasnews.my pada 24 April 2022. 

Beliau menyatakan bahawa Masjid Kampung Laut ini antara masjid yang tertua dibina oleh Wali Songo pada abad ke 14 ketika dalam perjalanan dari kepulauan Jawa ke Champa. Kapal yang dinaiki telah dilanda ombak dan karam. Lalu mereka terdampar di Kampung Laut, Tumpat Kelantan. Sepanjang keberadaan mereka di situ, sebuah masjid telah dibina tanpa penggunaan paku dan reka bentuk masjid ini sama seperti Masjid Agung Demak di Jawa Tengah.

Beliau menjelaskan lagi bahawa kedua-dua masjid Kampung Laut dan Masjid Agung Demak dipercayai telah dibina oleh orang yang sama iaitu Wali Songo. Wali Songo terdiri daripada sembilan orang wali. Menurut catatan sejarah, tapak masjid asal di Kampung Laut yang terletak dalam jajahan Tumpat telah tenggelam akibat banjir besar yang berlaku pada tahun 1926 dan 1966.

Oleh yang demikian beliau menyatakan, Persatuan Sejarah Malaysia menggerakkan usaha pemuliharaan setelah mendapat persetujuan Kerajaan Negeri Kelantan untuk memindahkannya ke tanah milik Yayasan Islam Kelantan di Nilam Puri dan ia dipercayai telah dipindahkan pada tahun 1970-an.

Beliau menjelaskan lagi, selepas lebih 50 tahun Masjid Kampung Laut tegak berfungsi di bumi Nilam Puri sebagai pusat ibadat masyarakat sekitar terutama para pelajar pra Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (sebelum dipindahkan ke Bachok) dan pelajar Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), melalui detik perpindahan buat kali ke dua.

Hari simbolik bersejarah perasmian Perdana Menteri Malaysia pada 9 September 2022 adalah perkembangan terkini di mana masjid ini telah dipindahkan sekali lagi ke tempat asal di tepi sungai Kampung Laut.

Usaha pemindahan dilakukan dengan Kerjasama beberapa pihak iaitu Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) sebagai badan pelaksana projek, Kerajaan Negeri Kelantan, Jabatan Warisan Negara, Arkib Negara Malaysia, Muzium Negeri Kelantan, dan Fakulti Seni bina Universiti Malaysia Kelantan.

Kerjasama ini didorong oleh pelbagai faktor antaranya mengekalkan nilai-nilai sejarah, budaya dan seni bina masjid bagi memenuhi syarat pengiktirafan UNESCO sebagai tapak warisan dunia. Masjid Kampung Laut bakal menjadi mercu tanda warisan Islam di Kelantan.

Dr Aizan menjelaskan kronologi ringkas mengenai proses pemindahan semula masjid ini. Kerja-kerja pemindahan bermula pada 14 September 2020 dengan meleraikan struktur binaan yang diperbuat daripada kayu yang bermutu tinggi iaitu kayu cengal.

Pembinaan semula telah selesai pada Januari 2022 dengan penambahan dua buah kompleks komersial bersebelahan Masjid Kampung Laut iaitu Laman Warisan dan Laman Seni sebagai tarikan sampingan sektor pelancongan di kampung tersebut.

Sepertimana yang telah dipublisitikan, kompleks yang dibina tersergam indah ini akan memenuhi keperluan para pelancong dan peluang pekerjaan bagi penduduk tempatan dalam mempromosi hasil kraf seperti batik dan jualan makanan tradisional seperti dodol, serunding daging, ayam dan ikan.

Dr Aizan juga menyifatkan pengembalian Masjid Kampung Laut ke tempat asal penting bagi pengkaji sejarah Islam dan masyarakatnya bagi mengekalkan sifat ‘in situ’ dalam sesebuah kajian sejarah. Ia menjadi sumber rujukan sejarah Islam bagi pelajar-pelajar pengajian Islam, Sejarah dan Tamadun Islam, Seni bina Islam, dan budaya masyarakat Islam.

Beliau juga menyatakan banyak kajian ilmiah berkaitan Masjid Kampung Laut telah dikendalikan oleh para pelajar universiti di peringkat Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah. Aspek yang dikaji adalah pelbagai mengikut bidang kajian masing-masing sama ada Sejarah Kedatangan Islam, Sejarah Institusi Islam, Sejarah Pembangunan Masyarakat Islam, Kesenian Islam, Kearifan tempatan dalam Seni bina Islam mahu pun budaya dalam masyarakat Islam.

Seterusnya beliau turut menjelaskan bahawa selain daripada struktur Masjid Kampung Laut, mimbar asal berusia 400 tahun yang diletakkan di Masjid ArRahman, Kampung Surau Pasir Pekan semasa proses pemindahan yang pertama dan beduk di Masjid Muhammadi turut kembali ke lokasi asal. Usaha untuk mendapatkan pengiktirafan badan dunia seperti Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) yang sedang dibuat bakal merancakkan ekonomi penduduk setempat.

Beliau menyatakan, Malaysia memiliki hanya empat tapak Warisan Dunia UNESCO iaitu Taman Negara Gunung Mulu, Taman Kinabalu, Melaka dan George Town Bandar Bersejarah di Sepanjang Selat Melaka dan Lembah Lenggong Warisan Arkeologi. Projek pemindahan ini ibarat sirih pulang ke gagang dan akan dicatat sebagai peristiwa penting dalam Sejarah Islam di Kelantan khususnya dan Malaysia amnya.

Saya amat teruja dengan pendedahan yang dibuat oleh Dr Aizan ini dan penjelasan beliau menyebabkan saya begitu tak sabar untuk melawatinya bila berpeluang ke Kelantan kelak . Sebagaimana pertemuan 5 pemimpin dengan simbolik Penyatuan Ummah di masjid bersejarah ini, maka saya sendiri tak mahu lepaskan untuk juga berteduh di bawah lembayung masjid penuh keberkatan binaan wali songo yang amat berjaya untuk ummah di seluruh Rantau Nusantara daripada dulu kini dan selamanya. 

Semoga lawatan saya kelak sekurang-kurangnya dapat mencicip sedikit keberkatan ulamak ulamak silam ini, Maha Suci Allah masjid ini terpelihara lebih 400 ratus tahun. Subhanallah, wa Alhamdulillah, Allahu akbar.

Tahniah kepimpinan YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob atas satu lagi kejayaan yang mengangkat nama Kelantan ini. 

ZIKRULLAH ISMAIL 
Darulnaim Research Centre
12 September 2022 – HARAKAHDAILY 12/9/2022

- Advertisement -
- Advertisement -