Kebijaksanaan Presiden PAS menggulung hujah

- Advertisement -

PERINGATAN oleh Mursyidul Am dan Presiden PAS pada sesi penggulungan Muktamar PAS Pusat ke-68, amat baik dan bermakna bagi yang mahu memahami arah tujuan perjalanan PAS. Saban tahun, begitulah pencerahan yang diberikan pimpinan ini, menyedarkan kita dari alpa, dibuai ombak ganas fitnah ciptaan musuh.

Mursyidul Am memberikan anologi berkenaan situasi kecemasan, seorang wanita, isteri orang yang sedang kelemasan. Maka pada waktu itu, menjadi kewajipan kita menolong dia, tanpa melihat hukum menyentuh perempuan bukan mahram. Dan sebaik sahaja dia telah dibawa ke daratan dengan selamat, maka pada masa itu, tidak boleh lagi memeluknya.

Contoh ini kelihatannya melucukan, tetapi ia benar dan terkadang tidak tercapai oleh ahli-ahli PAS yang sibuk untuk mengkritik pimpinan dengan rancangan politik yang dibincang dan diaturkan bagi mencari solusi terbaik menyelamatkan manusia yang dalam kelemasan ini. Serba tidak kena. Sedangkan antara bukti lain PAS berjaya dalam dakwahnya ialah, tiada yang berani berkata politik suku, agama suku, hasil daripada usaha PAS.

Presiden PAS memberikan sirah perjalanan Rasulullah dalam berjuang di jalan dakwah. Pada semua peringkat, Rasulullah menggunakan segala cara bagi mencapai tujuan dakwahnya iaitu mengembalikan manusia kepada Allah. Dan Baginda berjaya menjadikan Semenanjung Arab sebagai benua Islam.

Himayah, tahaluf, ta’awun adalah strategi yang digunakan Rasulullah dalam berpolitik. Kecerdikan Baginda dalam menerapkan rancangan ini, menjadikan Islam sangat dekat dengan masyarakat, kekal relevan, sentiasa ada. Maka dengan itu, Islam dikenali, malah dikasihi dengan akhlak dan adab yang mulia, sebagaimana Raja Najasyi melihat Islam.

Himayah ialah kaedah meminta perlindungan terutama pada zaman Islam lemah di Makkah, di mana Bani Hashim dan Bani Mutthalib yang majoritinya masih bukan-Islam, melindungi Rasulullah, kerana mereka mempunyai sifat kemanusiaan.

Ketika berhijrah, Nabi menggunakan cara ta’awun iaitu bertolong-tolongan dalam perkara kebaikan, iaitu menggunakan khidmat Abdullah bin Uraiqi’ yang belum Islam, sebagai pemandu jalan ke Madinah, kerana Abdullah dipercayai dan dia sukakan kebaikan.

Strategi bertahaluf pula dilaksanakan Rasulullah ketika di Madinah, iaitu bersefahaman dengan golongan bukan-Islam. Ia di atas nama dua Perpaduan Ummah. Pertama dengan umat Islam yakni menyatukan Aus dan Khazraj dua kabilah besar yang turun temurun berkelahi. Kedua, perpaduan dengan bukan-Islam yang tidak ekstrem atas nama kemanusiaan. Dengan syarat, Islam yang memerintah dan memandu, menjadi tonggak perpaduan.

Tetapi, dengan tujuan itu, tidaklah menjadi tiket untuk berbuat sesuka hati dalam semua perkara. Rasulullah menolak pelawaan Musyrikin Makkah melalui Abi Thalib untuk diberikan kekayaan, pangkat, kedudukan dan wanita, dengan syarat, Baginda meninggalkan Islam. Isu asas, dasar dan prinsip Islam, bukan barang tukaran. Rasulullah menjadikan Islam sangat indah, sama ada ketika ditindas, mahupun sedang berkuasa. Islam sentiasa ada caranya.

Jelas perjalanan jauh PAS sehingga kini diterangkan dengan sempurna oleh Presiden PAS iaitu pengkisahan PAS yang suatu masa dahulu, ditolak, ditekan dan dikenakan hukuman oleh British melalui jemaah yang dinamakan Hizbul Muslim. Kemudian bergerak atas nama lain, mengadakan ta’awun dan tahaluf dengan banyak parti politik, termasuk bukan-Islam.

Penjara adalah rumah kedua bagi sebahagian pimpinan PAS, kemiskinan, kesusahan hidup, tetapi masih tetap berjaya mendirikan sekolah-sekolah bagi menyelamatkan agama bangsa, agar tetap utuh dalam jiwa. Apapun yang berlaku, dasar PAS tidak pernah digadaikan, sanggup dibuang keluar oleh rakan ta’awun dan tahaluf, walau sudah kelihatan pintu masuk Putrajaya. Dan PAS benar dalam hal ini.

Rugilah bagi sesiapa yang sentiasa mengkritik pimpinan, tetapi tidak tahu yang jemaah ini walau dalam serba kedaifan, tetap berusaha mengikuti susur galur perjalanan Rasulullah. Kita mesti menguatkan jiwa kita dengan Islam, tiada jalan lain, tiada kompromi. Islam memuliakan kita samada di dunia, mahupun di akhirat nanti. Terima kasih Ayah Chik, penjelasan yang melegakan jiwa kita semua.

MOHD NASIR ABDULLAH
12 September 2022 – HARAKAHDAILY 12/9/2022

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -
- Advertisement -