Ijtimak Usahawan ‘Alimat satukan hala tuju ekonomi

- Advertisement -

BAGAN SERAI: Lajnah ‘Alimat dan Pembangunan Keluarga Dewan Ulamak PAS Pusat telah menganjurkan Ijtimak Usahawan ‘Alimat Malaysia di Bukit Merah Laketown Resort, di sini pada 9 dan 10 September kelmarin.

Program bertujuan membincangkan hala tuju ekonomi yang diharap akan menyumbang kepada pergerakan program dan aktiviti ‘Alimat ini telah dirasmikan Ketua Ulamak PAS Pusat, Senator Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya.

Dalam ucapannya, beliau menerangkan mengenai peranan perniagaan dijalankan Baginda Nabi SAW yang bukan sahaja mempunyai strategi perjuangan semasa, bahkan juga untuk mencapai akhirat.

“Para peniaga yang amanah, di dunia mereka akan mendapat keuntungan yang banyak, sementara di akhirat mereka dijanjikan kedudukan bersama para anbiyak dan siddiqin.

“Justeru peniaga Muslim hendaklah menjejak rahsia Nabi berniaga, dengan sifat jujur beliau membawa keuntungan luar biasa terhadap dagangan Saidatina Khadijah RA,” jelasnya lagi.

Beliau berkongsi kehebatan kedudukan perniagaan dikendalikan tersebut sehinggakan Rasulullah SAW bertemu Saidatina Khadijah dan akhirnya melangsungkan perkahwinan kerana perdagangan itu.

Bahkan menurutnya, baginda Rasulullah SAW mula menempa nama dan menjadi terkenal dalam kalangan masyarakat Makkah serta Syam melalui jalur perniagaan dijalankan itu.

Sementara itu, Pengerusi Lajnah Ekonomi Ulamak PAS Pusat, Ustaz Wan Hamidi Wan Mat semasa sesi pembentangannya menyatakan bahawa beliau amat berbesar hati dengan penganjuran program ekonomi seumpama ini.

“Tatkala unit-unit lain dalam PAS yang banyak menumpukan usaha kutipan infak untuk kelangsungan aktiviti, ‘Alimat telah mengorak langkah mengukuhkan agenda kewangannya dengan membentuk kesatuan usahawan dan merancang cara menjana ekonominya sendiri.

“Kekuatan ekonomi adalah penting dalam membiayai jamaah sehingga kita lihat melalui sirah, siri kemenangan Islam dicetuskan melalui kekuatan ekonomi hasil sumbangan para usahawan dari kalangan sahabat,” ujarnya.

Pengerusi ‘Alimat Ulamak PAS Pusat, Ustazah Ana Mastura Ismail berkata, usahawan yang hadir dalam program ini adalah kelompok usahawan teras dan akan menggerakkan usahawan lain sekembalinya mereka ke negeri masing-masing.

Jelas beliau lagi, pasukan usahawan ‘Alimat akan saling menyokong memasarkan dan mengguna produk yang diusahakan oleh ‘Alimat Malaysia. – HARAKAHDAILY 12/9/2022

- Advertisement -
- Advertisement -