Hari Malaysia: Dewan Ulamak seru solat hajat, munajat

Dato' Ahmad Yahaya
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat menyeru umat Islam di seluruh negara supaya menganjurkan solat hajat dan munajat pada 15 September ini bersamaan 18 Safar iaitu hari Khamis malam Jumaat.

Ketuanya, Senator Ustaz Dato’ Ahmad Yahya berkata, penganjuran solat hajat dan munajat tersebut bersempena sambutan Hari Malaysia yang disambut pada 16 September setiap tahun.

“Mesej utama daripada penganjuran solat hajat dan munajat ini adalah supaya gagasan penyatuan ummah dapat direalisasikan dalam negara,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

- Advertisement -

Beliau berkata, sesungguhnya kekuatan umat Islam dulu, kini dan selamanya hanyalah berpaut pada kesatuan hati yang mendorong kesatuan fikiran dan gerak kerja.

Tambahnya, bercerai berai hanya melemahkan umat Islam, malah membuka laluan kepada musuh Islam masuk bertapak.

“Selain itu, kita juga mendoakan agar negara dihindari daripada sebarang bentuk musibah dan kecelakaan,” katanya lagi.

Menurutnya, hal yang demikian itu termasuklah ramalan MetMalaysia mengenai kemungkinan banjir besar pada penghujung bulan November akan datang.

Belaiu menambah, situasi dan unjuran kaji cuaca sebegini tidak boleh dipandang enteng oleh semua pihak.

Oleh itu, ujarnya Dewan Ulamak PAS Pusat ingin menyeru umat Islam di seluruh negara untuk turut serta menganjurkan solat hajat dan munajat di kawasan masing-masing.

“Semoga Allah SWT mengurniakan keamanan, ketenangan dan kesejahteraan serta sentiasa melindungi negara ini daripada musibah, insya-Allah,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 12/9/2022

- Advertisement -