Dewan Ulamak ucap tahniah kepada Dr Habib Salim Segaf

Dr Habib Salim Segaf al-Jufri
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Dr Habib Salim Segaf al-Jufri di atas pelantikan sebagai Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia.

Ketuanya, Senator Ustaz Dato’ Ahmad Yahya berkata, Dr Habib Salim Segaf merupakan Ketua Majlis Syura Parti Keadilan Sejahtera, Indonesia serta telah menyandang jawatan Timbalan Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia sejak 2018.

- Advertisement -

“Pelantikan beliau merupakan pengiktirafan kepada para ulama di alam Melayu untuk memimpin Kesatuan Ulama Islam di peringkat tertinggi.

“Pengalaman dan pengetahuan yang luas menjadi sandaran utama bagi menyambung legasi kepimpinan sebelumnya,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Tambahnya, Dewan Ulamak PAS Pusat turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Sahibul Fadilah Dr Ahmed Al-Raisouni di atas segala pengorbanan serta kerja keras dalam menggalas tugas sebagai Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia ini.

“Semoga segala amal diganjari dengan pahala yang besar di sisi-Nya,” katanya lagi.

Beliau menambah, Dewan Ulamak PAS Pusat turut mendukung aspirasi kesatuan ummah yang dibangkitkan Dr Salim Seqaf dalam ucapan sulungnya sebagai Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia.

Menurutnya lagi, sememangnya bertepatan dengan lakaran sejarah Islam bahawa peranan para alim ulamalah yang menjadi tonggak penyatuan umat Islam di seluruh dunia.

“Semoga umat Islam kembali kepada tali kesatuan dan merintis denai kebangkitkan Islam, insya-Allah,” ujarnya yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah. – HARAKAHDAILY 11/9/2022