Kunjungan muhibah dan misi kemanusiaan di Lombok

AWAL minggu ini, saya berkesempatan untuk mengetuai delegasi PAS ke Lombok bagi mengadakan pertemuan dengan tokoh politik dan dakwah dari Indonesia seperti Partai Keadilan Sejahtera (PKS) dan lain-lain lagi.

Turut bersama dalam rombongan delegasi PAS ke Lombok, Indonesia adalah YB Ustaz Yusni Mat Piah, Pengerusi PAS Relief yang juga merupakan AJK PAS Pusat dan juga NGO Syabab Care yang memainkan peranan penting dalam misi bantuan kemanusiaan di Lombok ketika dilanda gempa bumi pada 2018.

Advertisement

Dalam aturcara lawatan tersebut, saya berbesar hati menerima jemputan untuk merasmikan sebuah masjid baharu, Masjid As Syabab Raudhatul Hasanah yang menggantikan masjid yang roboh akibat bencana gempa bumi yang melanda Lombok pada 2018.

Alhamdulillah, masjid baharu ini dibina hasil daripada sumbangan daripada rakyat Malaysia yang amat prihatin yang dianjurkan oleh NGO Syabab Care dalam usaha untuk membina masjid baharu bagi kegunaan penduduk tempatan.

Masjid tersebut dimulakan pembinaannya dengan peletakkan batu asas yang disempurnakan oleh YB Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada tahun 2019 dan telah berjaya disiapkan pada tahun ini.

Dalam rangka lawatan tersebut, saya bersama rombongan delegasi PAS turut berkesempatan menziarahi asrama Maahad Tahfiz Al Quran Al Syabab yang berada di situ di mana ia juga adalah hasil daripada sumbangan bantuan kemanusiaan yang dianjurkan oleh NGO Syabab Care.

Harapan saya agar lawatan ke Lombok, Indonesia kali ini mampu merapatkan hubungan dan ukhuwah antara Malaysia dan Indonesia terutamanya sesama umat Islam kedua-dua negara dalam usaha memperkukuhkah usaha penyatuan ummah dalam kalangan negara-negara Dunia Islam.

Saya juga turut mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada NGO Syabab Care yang telah memainkan peranan penting dalam usaha membantu penduduk Lombok yang terjejas teruk akibat gempa bumi yang melanda Lombok pada 2018.

Semoga usaha murni ini dapat diteruskan seterusnya diberkati dan dirahmati Allah SWT.

Islam Menyatukan Umat

DR MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat
ADUN Batu Buruk – HARAKAHDAILY 10/9/2022