Jelajah ANMS-SMJ promosi kesejahteraan kesihatan rakyat

Foto daripada Facebook Hajiji Haji Noor.
- Advertisement -

KOTA KINABALU: Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat – Sabah Maju Jaya (ANMS-SMJ) membabitkan perkongsian pintar antara Kementerian Kesihatan dan kerajaan Sabah, tepat pada masanya bagi mempromosikan kesihatan rakyat negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata ANMS merupakan pakej kesejahteraan kesihatan yang diteliti, dirancang dan seterusnya diperkenalkan oleh kerajaan, bertujuan membudayakan hidup sihat dan melestarikan persekitaran bagi menyokong kesejahteraan Keluarga Malaysia.

“Matlamat atau objektif ANMS ini adalah untuk menjadikan rakyat Malaysia sihat sejahtera dengan membudayakan cara hidup sihat, dari aspek fizikal dan mental, serta hidup dalam persekitaran yang bersih.

- Advertisement -

“Gabungan konsep Agenda Nasional Malaysia Sihat – Sabah Maju Jaya ini adalah tepat pada masanya. Untuk membangunkan sektor pertanian, perindustrian dan pelancongan di Sabah, kita memerlukan rakyat yang sihat bukan sahaja dari aspek fizikal malah mempunyai kesejahteraan mental,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Jelajah ANMS-SMJ peringkat negeri Sabah di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Pengarah Kesihatan Sabah Datuk Rose Nani Mudin.

Hajiji berkata bagi menjayakan Hala Tuju Sabah Maju Jaya, kerajaan memerlukan anggota perkhidmatan awam atau swasta yang sihat dan mempunyai kesihatan mental yang baik.

“Oleh itu, saya menyeru semua rakyat Sabah agar membudayakan cara hidup sihat dengan melakukan aktiviti fizikal, makan secara sihat, bijak menangani stres, tidak merokok dan sentiasa menjaga kebersihan kawasan persekitaran.

“Saya juga menyeru rakyat negeri ini agar tampil melakukan saringan kesihatan terutama kepada mereka yang berumur 40 tahun dan ke atas. Ini adalah penting untuk kebaikan kita sendiri,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata kerajaan negeri akan memberi biasiswa dan pinjaman kepada anak-anak Sabah yang akan mengikuti bidang perubatan di institut pengajian tinggi (IPT).

“Dalam hal ini, saya akan minta Yayasan Sabah dan Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri untuk mengambil perhatian serius terhadap permohonan anak Sabah yang mengikuti jurusan perubatan.

“Di samping itu, pertambahan kuantiti pakar-pakar perubatan juga sangat diperlukan di Sabah dan saya berharap perkara ini akan diberi perhatian sewajarnya,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -