Ahli politik rentas parti, tokoh perjuang isu integriti

- Advertisement -

KOTA BHARU: Sebuah lagi badan yang dikenali Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) diwujudan bagi memperjuangkan isu integriti, governan dan antirasuah dengan memfokuskan perubahan sistemik dan legislatif dalam negara.

Pengerusinya Dato Che Abdullah Mat Nawi berkata, badan berkenaan memperjuangkan integriti, tadbir urus dan pencegahan rasuah di Malaysia dari semasa ke semasa.

Katanya, badan terbabit menggabungkan ahli-ahli parlimen, senator, masyarakat sivil dan pakar-pakar dalam bidang tertentu bagi memperjuangkan isu berkenaan.

- Advertisement -

“Usaha tersebut selaras dengan Dewan Rakyat meluluskan penubuhan KRPPM Integriti, Governan & Anti Rasuah pada pada 23 Ogos 2022,” katanya di sini.

Keanggotaan KRPPM terdiri daripada lapan anggota Ahli Parlimen dalam kalangan kerajaan dan pembangkang antaranya Dato’ Seri Azizah Muhd Dun, Dato’ Ignatius Darell Leiking, Lukanisman Awang Sauni, Hannah Yeoh, Fuziah Salleh, Dato’ Amiruddin Hamzah dan Dato’ Hasanuddin Mohd Yunus.

KRPPM turut dianggotai #RasuahBusters (Sekretariat), Transparency International Malaysia, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Centre to Combat Corruption and Cronyism (C4), PATRIOT, UNDI 18.

Manakala tokoh masyarakat iaitu Tan Sri Dr Syed Hamid Albar, Tan Sri Mohamed Nazir Tun Razak, Dato Hussamuddin Yaacub, Shah Hakim Zain, Anas Zubedy, Maha Balakrishnan, Christopher Leong, Dr Terence Gomez dan kumpulan pakar.

Che Abdullah yang juga ahli parlimen Tumpat berkata, badan terbabit menyasarkan kebebasan institusi kehakiman, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) dan memisahkan peranan Peguam Negara daripada peranan Pendakwa Raya.

KRPPM turut memperjuangkan penambahbaikan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 juga yang menjadi sebagai tumpuan utama. KRPPM juga mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Tetap Dewan Rakyat bagi SPRM dan SPR.

Che Abdullah berkata, KRPPM menyatakan komitmen menyeluruh setiap anggota bagi memastikan ketelusan, akauntabiliti dan menyekat penyalahgunaan kuasa melalui penggubalan dan pemerkasaan dasar serta penambahbaikan polisi bersama program kesedaran dan advokasi kemasyarakatan. – HARAKAHDAILY 10/9/2022

- Advertisement -