Tidak semua penyelesaian masalah banjir di bawah kerajaan Kedah

- Advertisement -

Oleh: SARINA ISMAIL

ALOR SETAR: Tidak semua tugasan menyelesaikan masalah banjir di Kedah berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, sebaliknya sebahagiannya adalah di bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata demikian ketika membidas kenyataan yang dikeluarkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundur, Dato’ Dr Ismail Salleh.  

- Advertisement -

Menurutnya, kerajaan negeri tidak boleh mengadakan Sidang DUN Khas untuk mengambil tindakan berkenaan bencana banjir di Kedah.

“Kerja-kerja berkenaan banjir ini banyak di bawah agensi Kerajaan Persekutuan dan agensi-agensi yang bersamanya.

“Kalau semua tugasan menyelesaikan masalah berkaitan banjir di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, bolehlah diadakan Sidang DUN Khas,” katanya melalui  kenyataan pada lewat petang semalam. 

Ismail yang juga Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara Kedah, melalui kenyataan yang dilaporkan oleh media tempatan semalam, menggesa diadakan Sidang DUN Khas untuk membincangkan agenda khusus berkaitan banjir di Baling, Kedah.

Beliau juga menyarankan agar kerajaan negeri mengemukakan pelan tindakan segera yang lebih komprehensif bagai menangani isu terbabit.

Dalam pada itu, kata Sanusi, semua agensi telah bertindak selepas bencana pertama (aliran puing) pada 4 Julai  lalu, malah kerja-kerja menangani masalah itu terus berjalan tanpa henti. 

Pada sidang media di Dewan Seri Mentaloon, di sini, semalam, beliau juga memaklumkan kerja-kerja mendalamkan serta pengukuhan tebing Sungai Iboi berjalan dengan baik, namun agak tergendala ekoran hujan lebat dan banjir yang kerap melanda sejak kebelakangan ini.

Sementara, 17 keluarga yang berada di zon kuning berhampiran Sungai Iboi juga jelasnya akan dipindahkan apabila penempatan baharu dikenalpasti dalam masa terdekat.

Terdahulu, 12 keluarga yang hilang tempat tinggal akibat aliran puing Gunung Inas, disediakan kediaman baharu di Kampung Sadek, Kupang.

“Rumah terbabit kini dalam proses pembinaan dan dijangka siap selewat-lewatnya Disember 2022 ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/9/2022

- Advertisement -