Pusat sokong warta Masjid Kampung Laut Tapak Warisan Dunia

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

TUMPAT: Kerajaan Persekutuan membelanjakan RM40 juta Projek Pembangunan Semula Kampung Laut yang terdiri daripada Laman Warisan Serunding, Laman Warisan Seni dan pemindahan Masjid Lama Kampung Laut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, projek tersebut yang mula dibangun beberapa tahun lalu kini mampu menjadi tarikan pelancong.

- Advertisement -

“Laman Warisan Kampung Laut kini menjadi destinasi wajib untuk singgah sekiranya berkunjung ke Kelantan. Serunding Kampung Laut memang terkenal di seluruh Malaysia sehingga menjadi antara juadah yang mesti dibeli oleh pelancong apabila ke Kelantan,” katanya

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Laman Warisan Kampung Laut, di sini, hari ini. Turut hadir Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob; Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beliau juga berkata Kelantan kaya dengan kesenian dan kraftangan yang diwarisi sejak turun-temurun di mana Laman Warisan Seni yang dibangunkan juga memelihara warisan seni budaya rakyat Kelantan.

Katanya, ia juga memberi peluang kepada karyawan seni memasarkan hasil tangan seperti batik, wau, tikar mengkuang dan barangan kraftangan kepada para pengunjung.

Menurutnya juga Masjid Lama Kampung Laut antara masjid kayu tertua di Asia Tenggara yang kaya dengan sejarahnya berkait rapat dengan penyebaran dakwah di rantau ini.

Katanya, masjid berkenaan adalah simbol kegemilangan syiar Islam di negeri Serambi Mekah yang mana dipindahkan ke lokasi asal dinanti-nantikan penduduk Kampung Laut.

“Selepas lebih 50 tahun Masjid Lama Kampung Laut dipindahkan ke Nilam Puri sejak 1972, projek pembangunan semula Kampung Laut oleh Kerajaan Persekutuan menerusi ECERDC berjaya memenuhi hasrat dan impian penduduk Kampung Laut untuk mengembalikan masjid ini ke tapak asalnya.

“Usaha memindahkan masjid lama ke tempat asalnya serta pemuliharaan dan pemeliharaan warisan sejarah negara adalah sesuatu yang sangat signifikan,” ujarnya.

Tambah beliau juga, kerajaan Persekutuan menyokong penuh langkah mewartakan Masjid Kampung Laut sebagai Monumen Kebangsaan di bawah Jabatan Warisan Negara dan sebuah Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Beliau turut mengucapkan penghargaan dan tahniah kepada semua pihak yang terbabit dalam merealisasikan Projek Pembangunan Semula Kampung Laut sebagai Kampung Warisan terutama kerajaan Kelantan dan ECERDC. – HARAKAHDAILY 9/9/22

- Advertisement -