Strategi PAS bukan omong kosong

Dr Wan Rohila Ganti Wan Abdul Ghapar
- Advertisement -

Oleh NORHANA MAT ZIN

KUALA LUMPUR: Perkembangan politik mutakhir ini menyaksikan PAS paling banyak menjadi bahan sinikal awam ekoran dari keputusan PAS untuk bekerjasama dengan blok Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Pensyarah Fakulti Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Sultan Zainal Abidin, Dr Wan Rohila Ganti Wan Abdul Ghapar berkata, tohmahan itu seperti bermain dua kolam dan sanggup menggadai prinsip parti demi kuasa semakin kuat berlegar dalam kalangan pemerhati politik dan pimpinan pembangkang.  

- Advertisement -

Menurut beliau, keseriusan PAS dalam memastikan tiada pertandingan lebih dari dua penjuru terutama sekali melibatkan pertembungan Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) tidak boleh dipandang enteng. 

Ia adalah susulan Muktamar Tahunan PAS kali ke-68 yang diadakan di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut bermula 3 hingga 4 September lalu, sehinggaa ada pihak yang melabelkan PAS yang dilabel sebagai ‘parti lebai’ yang memasang perancangan teliti untuk terus menjadi kerajaan.

Wan Rohila menegaskan bahawa banyak ibrah politik dapat diambil berdasarkan pengalaman PAS yang bertanding sendirian pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), dan terdapat pertembungan tiga penjuru semasa berlangsungnya Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor.

Katanya, PAS yang bertanding di 158 buah kerusi Parlimen pada PRU14 telah tewas teruk apabila hanya memenangi 18 buah kerusi yang disumbangkan oleh negeri-negeri tradisi mereka iaitu Terengganu, Kelantan dan Kedah. 

Oleh itu, seramai 50 calon PAS bagi kerusi Parlimen dan 96 bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) telah hilang wang pertaruhan yang melibatkan kerugian sebanyak RM1.3 juta. 

Sementara pada empat siri Pilihan Raya Kecil (PRK) yang berlaku semasa pasca PRU-14 telah menyaksikan permuafakatan antara PAS dan Umno telah membuahkan hasil apabila gabungan kedua-dua parti berjaya merampas semula kerusi yang pernah dimenangi Pakatan Harapan (PH) pada PRU14. 

“Jika diteliti, jelas di sini pendekatan mengelakkan undi pengundi Melayu terpecah dua turut berhasil.

“Malahan, pada PRU-14 sendiri terdapat hampir 27 kerusi Parlimen yang dimenangi PH akibat daripada terpecahnya undi Melayu,” jelasnya kepada HarakahDaily

Wan Rohila turut memberitahu bahawa pendekatan ‘politik dalam politik’ perlu diambil bagi memastikan kelangsungan politik Melayu-Islam dan masa depan parti-parti politik Melayu kekal relevan dalam mendepani kepesatan demokrasi dan gelombang literasi politik rakyat yang semakin meningkat.

Tidak hairanlah apabila Muktamar PAS ke-68 tekad menyatukan kesemua parti-parti politik Melayu bagi memastikan undi Melayu tidak berpecah. 

“Jenama kerjasama ini boleh sahaja dikenali sebagai ta’awun politik, khemah besar, siyasah politik atau muafakat ummah, bergantung kepada terma dan rundingan sesama parti berkaitan. 

“Adalah dangkal jika ini dikatakan sebagai menggadai prinsip parti kerana mana-mana parti politik yang bertanding di pentas demokrasi mahukan kemenangan dalam pilihan raya bagi membolehkan dasar-dasar parti direalisasikan dengan lebih berkesan dan meluas apabila membentuk kerajaan. 

“Maka usaha yang digerakkan PAS tidak boleh dipandang enteng, dan hasrat PAS untuk mencuba nasib di hampir 40 kerusi Parlimen pada PRU15 sebenarnya menakutkan parti lawan,” ujar beliau.

“Namun begitu, meskipun berhadapan kesukaran menemukan titik temu antara Umno dan Bersatu, PAS kelihatan bersungguh-sungguh bagi mengekang penguasaan semula PH di persada politik nasional.

“Apatah lagi, PH telah berada di kedudukan tidak selesa akibat dari palitan imej kuda tunggangan DAP,” katanya.

Sehubungan itu, Wan Rohila menegaskan bahawa harus diingat mengenai persepsi dan literasi politik pengundi terutama pengundi urban-semiurban dan pengundi muda adalah sangat kritikal. 

“PAS dilihat lunak terhadap banyak isu-isu yang melibatkan kepentingan rakyat kerana berada di posisi kerajaan, yang mana PAS pernah menjuarai isu-isu tersebut ketika berada di posisi pembangkang. 

“Di sini, PAS dilihat juga sebagai parti politik tipikal yang tiada beza dengan parti-parti politik bernuansa sekular,” tambahnya

Oleh yang demikian, ujarnya lagi, ukuran prestasi PAS sering menggunakan kayu ukur negeri Kelantan, yang menjadi kebimbangan para pengundi terutama pengundi Pantai Barat. 

“Walau bergabung sekalipun, jika imej ini tidak diperbetulkan, ia akan menjadi liabiliti kepada PAS. 

“Sebagai alternatif, kemantapan PAS mentadbir Terengganu perlu dilihat sebagai manifestasi awal PAS jika mentadbir Kerajaan Pusat kelak,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/9/2022

- Advertisement -