Isu yuran murid PASTI ditular YB Steven dalam perhatian

- Advertisement -

PASTI Malaysia mengambil maklum isu tular mengenai bapa murid PASTI yang mendapat bantuan daripada YB Steven Sim Chee Keong seperti mana yang dilaporkan di facebook beliau pada 6 September 2022. 

Melalui siaran tersebut YB Steven memaklumkan antara lain bahawa anak Encik Mohamad Muadz bin Jaafar mempunyai tunggakan yuran PASTI bernilai RM1,000.00 dan telah menerima surat amaran daripada pengurusan PASTI tersebut.

PASTI Malaysia ingin menjelaskan bahawa laporan YB Steven berkenaan surat amaran yang dikeluarkan oleh PASTI adalah tidak tepat dan tidak mencerminkan situasi sebenar yang berlaku.

Melalui semakan yang dibuat dengan Pejabat PASTI Kawasan Selayang, surat tersebut adalah bersifat pemberitahuan mengenai jumlah yuran tertunggak. Surat pemberitahuan adalah prosedur biasa yang dikeluarkan bagi memastikan pengoperasian PASTI berkenaan dapat diuruskan dengan lancar.

PASTI Malaysia juga difahamkan surat tersebut telah dikeluarkan di atas permintaan Encik Mohamad Muadz sendiri bagi tujuan menyokong permohonan beliau untuk mendapatkan bantuan daripada pihak Lembaga Zakat Selangor.

PASTI Malaysia menegaskan pengurusan PASTI di semua peringkat sentiasa prihatin, cakna dan membantu ibu bapa pelajar yang menghadapi masalah kewangan dengan memberikan pertimbangan pengurangan atau pengecualian bayaran yuran sekiranya pihak ibu bapa membuat permohonan secara bertulis.

Sehubungan itu, PASTI Malaysia bersama wakil Dewan Pemuda PAS Malaysia akan bertemu dengan Encik Mohamad Muadz sekeluarga bagi menyelesaikan permasalahan yang dihadapi beliau termasuklah berkenaan persekolahan anak beliau di PASTI.

PASTI Malaysia juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang ikhlas membantu Encik Mohamad Muadz tanpa sebarang tujuan keuntungan politik. PASTI Malaysia sentiasa cakna mengenai kebajikan seluruh warganya termasuk guru, murid dan ibu bapa.

Semoga Allah S.W.T memberkati segala keprihatinan dan usaha semua pihak. Jazakumullah khairan kathira.

IBU PEJABAT PASTI MALAYSIA – HARAKAHDAILY 8/9/2022

- Advertisement -
- Advertisement -