Hotel Che Wok julang keunikan Kelantan

- Advertisement -

‘CHE WOK’ sememangnya nama yang klasik bagi rakyat Negeri Kelantan dan begitu sinonim menggambarkan keturunan daripada Serambi Makkah ini, tetapi agak janggal untuk ke luar ke tempat lain.

Apatah lagi nama itu untuk digunakan kepada tujuan atau promosi komersial. Bagi tanggapan sesetengah pihak ia tidak mempunyai tarikan, jauh sekali sebagai satu jenama atau untuk maju dipasarkan lebih jauh.

Tetapi tidak bagi anak jati Kelantan yang atas rasa cintanya kepada negeri serta kasih kepada keturunannya, nama Che Wok iaitu moyang dan pemilik tanah di bandar ini telah diabadikan kepada hotel dibukanya. 

Hotel Che Wok yang tersergam di Jalan Padang Garong, Bisnes Centre Kota Bharu ini mula dibuka pada 26 Januari tahun ini setelah dua tahun pembinaan dan kerja pengubahsuaiannya dengan megah menampilkan konsep tradisional moden.

Segala ukiran, kesenian, tradisi, kebudayaan dan sebarang imej atau identiti bersendikan Kelantan dapat dilihat pada fizikal luar dan dalaman hotel ini yang beriltizam menjadi ‘Duta Kecil Kelantan’. 

Hotel 5 tingkat ini memiliki 36 bilik, dua bilik mesyuarat masing-masing dapat memuat 30 peserta, satu dewan utama dapat memuatkan 100 peserta, sebuah kafe dan uniknya memiliki kolam eko yang dipenuhi pelbagai jenis ikan. 

Kelainan juga terdapat di Hotel Che Wok adalah ‘terowong maklumat’ di mana memaparkan gambar dan info lokasi-lokasi tersohor di Negeri Kelantan, para pemimpin, alim ulamak dan masjid. 

Pengurus Besar Hotel Che Wok, Azaizureen Ahmad memberitahu, beliau diamanahkan oleh pemilik hotel ini seorang usahawan anak jati Kelantan yang merupakan keturunan Che Wok untuk mengendalikannya.

Menurut beliau, pihaknya beriltizam menawarkan hospitaliti yang mesra Muslim di mana kini hotel ini menjadi tarikan ramai dari tetamu atau pelancong dari negeri lain, termasuk luar negara dan bukan-Muslim. 

Jelas beliau, kebanyakan penginap sudah menjadi ‘pelanggan tetap’ atas kepuasan mereka menginap di situ. Kata beliau, tempahan biasanya penuh antara hari Khamis hingga Ahad. 

Beritahu Azaizureen, tempoh itu selain kehadiran hujung minggu berurusan di bumi Cik Siti Wan Kembang itu, kebanyakan tetamu juga dilihat merupakan pendamba ilmu iaitu hadir ke Dataran Ilmu di Kota Bharu setiap Jumaat. 

Dalam mengurus hotel ini, beliau dibantu adiknya, Azaizuree Ahmad yang bertindak sebagai Pengarah Jualan dan Pemasaran. 

Malah keterlibatan adiknya selaku Pengerusi Minda Evolusi Rempit Anak Kelantan (MERAK) dan Pengerusi Pertubuhan Awang Selamat Anak Kelantan (PASAK) banyak mendekatkan hotel itu dengan anak muda.

Cerita beliau yang mempunyai 17 tahun pengalaman dalam bidang perhotelan, dalam aspek pengambilan pekerja Hotel Che Wok memperkenalkan program ‘Zero to Hero’

Terangnya, menerusi program tersebut, anak-anak muda yang berminat diberi peluang mengadakan latihan sambil bekerja di hotel tersebut dengan bayaran elaun standard mengikut kelayakan akademiknya. 

Setelah satu tempoh beritahunya, mereka ditawarkan untuk bekerja secara tetap di hotel itu di mana sepanjang berkhidmat juga pekerja mesti mengikuti sesi-sesi pembangunan insan dan rohani dimodulkan. 

Kata Azaizureen lagi, semua kakitangannya dianggap sebagai satu keluarga dan mereka sentiasa berhubung sebagai keluarga di mana beliau memanggil mereka sebagai ‘Che Woklian’ sebagai membina keakraban itu. 

Orang ramai yang mahu mendapat maklumat lanjut atau membuat tempahan boleh menghubungi 09-741 8888 (Hotel Lobby) atau Hotel WhatsApp (0116- 323 4288).

IZWAN ABDUL HALIM – HARAKAHDAILY 8/9/2022

- Advertisement -
- Advertisement -