17 keluarga di zon kuning, Sungai Iboi akan dipindahkan – Sanusi

- Advertisement -

Oleh: SARINA ISMAIL

ALOR SETAR: Seramai 17 keluarga di zon kuning  berhampiran Sungai Iboi akan dipindahkan ke kawasan selamat apabila urusan pengambilan tanah di kampung yang dikenalpasti selesai.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, proses mendalamkan sungai serta pengukuhan tebing sedang dijalankan oleh Jabatan Saliran dan Pengairan (JPS) tetapi terganggu akibat hujan lebat dan banjir kilat.  

- Advertisement -

“Saya berharap kerja mendalamkan sungai yang diselia di bawah Kementerian Alam Sekitar  dan Air (KASA) segera selesai. 

“Dahulu kedalaman Sungai Iboi hampir 10 kaki tetapi sekarang hampir sama paras dengan jalan,” katanya ketika ditemui di Dewan Seri Mentaloon, di sini, hari ini. 

Apabila berlaku hujan lebat, aliran air dari Gunung Inas katanya turun melalui lorong yang terbentuk sebelum ini dan mengalir deras ke Sungai Iboi sehingga menyebabkan jambatan bailey tergantung kerana penghubung kanan dan kirinya putus. 

“Ukuran hujan juga tidak dapat dibuat anggaran kerana tolok hujan berada di bawah.Jadi saya harap KASA perlu letakkan tolok hujan itu di atas agar anggaran hujan yang turun dapat dibuat bacaan,” tambahnya lagi.

Dalam masa yang sama, beliau menggesa agar pejabat tanah bertindak segera membawa keluar longgokan pasir yang berada di tebing agar kerja-kerja mendalamkan sungai dapat dilakukan dengan mudah. 

“Tak cukup masa kerja yang ada, tambah kerja hingga 14 jam agar longokan pasir itu dapat dipindah dengan segera,” gesanya.

Sementara Sanusi mengharapkan agar mangsa-mangsa banjir terutama penduduk yang tinggal berhampiran Sungai Iboi dapat bersabar dan kerajaan negeri akan berusaha  bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan masalah itu.

Dilaporkan seramai 130 penduduk daripada 37 keluarga di Kampung Iboi terpaksa berpindah ke dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) iaitu di Kampung Padang Empang dan Masjid Al-Huda, Kampung Hangus ekoran rumah mereka dimasuki air.

Banjir akibat hujan lebat yang bermula sejak 5 petang semalam turut menjejaskan beberapa kampung lain di Kupang, Baling. – HARAKAHDAILY 7/9/2022

- Advertisement -