Oleh AIN MANAF
KOTA BHARU: Polis Kelantan berjaya merampas pelbagai jenama cecair vape serta pelbagai jenis katrij yang dianggar bernilai RM2.04 juta untuk dipasarkan di negeri ini.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Dato’ Muhamad Zaki Harun berkata, cecair itu dipercayai diperoleh dari Kuala Lumpur.
Kata beliau, pihaknya berjaya menahan seorang lelaki berbangsa Cina berusia 34 tahun selepas membuat serbuan ke atas sebuah rumah di Taman Danhwa Kampung Bakat, Tumpat.
“Bertindak di atas maklumat kira-kira jam 12.30 tengah malam pada 4 September lalu, sepasukan anggota risik Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) membuat serbuan ke atas sebuah rumah.
“Semasa serbuan dilakukan didapati terdapat pelbagai jenis perisa dan cecair vape yang menyalahi undang-undang. Lelaki terbabit juga gagal mengemukakan dokumen berkaitan barangan tersebut,” katanya di sini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Kontijen Kelantan hari ini.
Menurutnya juga, kesemua barangan berkenaan dirujuk kepada Kementerian Kesihatan Negeri Kelantan.
“Laporan polis dibuat di Balai Polis Wakaf Bharu dan barangan rampasan diserahkan kepada bahagian farmasi Kementerian Kesihatan Kelantan untuk siasatan dan tindakan lanjut,” ujarnya.
Muhamad Zaki juga berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 13 (A) Akta Racun 1953 dan jika disabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM3,000 atau penjara selama setahun atau kedua-duanya sekali.
Sementara dalam perkembangan lain, polis berjaya merampas pelbagai jenis peluru dan dadah bernilai RM5,239 yang disyaki diseludup dari Thailand berhampiran tebing sungai pengkalan haram Pok Ngoh, Pisau Raut dan Kuala Jambu.
Kata beliau, semasa rondaan bermotosikal kira-kira jam 12 tengah hari 6 September lepas seorang anggoga strike force Batalion 9 menjumpai sebuah beg berwarna gelap berlogo R dalam keadaan mencurigakan dalam semak di tepi tebing berkenaan.
“Hasil pemeriksaan lanjut menemui 10 butir peluru jenis 38 SPL USA, 10 butir peluru jenis 9MM, 30 butir peluru jenis 357 MAGUSA, 16 butir peluru jenis Buck Shoy 12 Gauge serta 3 butir peluru jenis 22.
“Sementara, sebanyak 240 biji pil yaba dan 20 gram serbuk kristal disyaki dadah jenis syabu dan satu tiup berisi biji disyaki biji jenis ganja,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/9/2022