Benteng penangkis ancaman terhadap perundangan Islam

- Advertisement -

Oleh NORHANA MAT ZIN

KUALA LUMPUR: Kebimbangan terhadap ancaman kepada perundangan Islam di negara ini  telah melahirkan Gerakan Daulat sebagai suatu benteng penangkis yang utuh.

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa berkata, Gerakan Daulat  merupakan satu petisyen yang menolak Doktrin Struktur Asas (BSD) yang dikemukakan kepada rakyat umum untuk disokong dan didokong oleh semua pihak bagi mempertahankan  Perlembagaan Persekutuan daripada ancaman doktrin luar yang boleh menganggu gugat perundangan Islam. 

- Advertisement -

“Gerakan Daulat  lahir susulan situasi yang memperlihatkan beberapa keputusan Mahkamah Persekutuan yang tidak berpihak kepada Islam, dikhuatiri wujud gerakan tersusun dan licik memanipulasi BSD yang dicedok dari luar negara,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Gerakan Daulat yang berlangsung  di ibu pejabat Majlis Perundingan Melayu (MPM), Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pada 6 September 2022 bersamaan 9 Safar 144H dengan menampilkan agenda ‘Kedudukan Islam untuk Mendepani Ancaman’.

Mrenurut Mohd Zai, Gerakan Daulat bertitiktolak daripada satu pertemuan pada 9 Ogos 2022 di Putrajaya yang telah dihadiri  beberapa pimpinan gabungan badan bukan kerajaan (NGO) Islam, antaranya Gabungan NGO Ummah, Gabungan NGO MPM, Gabungan NGO Pembela, Gabungan NGO Demi Melayu dan Gabungan NGO daripada Macsa dan Centhra.

“Ssemasa pertemuan itu diadakan dianggarkan semua gabungan ini berjaya menghimpunkan 1,000 hadirin. Turut hadir ketika itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary,” katanya kepada HarakahDaily

Mohd Zai memberitahu bahawa, natijah daripada pertemuan ini adalah berkaitan kebimbangan pemimpin-pemimpin NGO tentang berlakunya ancaman kepada perundangan Islam di negara ini.

“Semasa perbincangan itu diadakan didapati semua pihak bersetuju agar satu gerakan rakyat umat Islam dapat disatukan bagi memperkasakan undang-undang di negara ini.

“Sehubungan itu, agenda memperkasakan undang-undang Islam diteruskan lagi pada 20 Ogos 2022  di Kuala Lumpur,” jelas beliau. 

Katanya, sidang meja bulat yang diadakan hampir separuh hari itu bersama tokoh-tokoh dan perwakilan NGO Islam yang dijemput hadir itu adalah membincangan dengan lebih kukuh lagi dan memfokuskan kepada isu-isu perundangan dan BSD  Perlembagaan Persekutuan serta kes pengislaman anak Puan Loh.

Para tokoh, NGO dan tokoh-tokoh individu (NGI) yang hadir pada persidangan tersebut telah  sebulat suara berikrar akan mempertahankan kedaulatan Islam di negara ini, dengan demikian, pelan tindakan akan digerakkan di segenap sudut.

“Antara NGI yang  dijemput hadir ialah Pengarah, Institut Alam dan Tamadun Melayu,  Prof Datuk Seri Dr. Haji Awang Sariyan; Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Tan Sri Haji Hassan; Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Mara (UiTM, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Ibrahim Abu Shah; dan Felo Penyelidik Utama, Institut Kajian Etnik (KITA), Dato Paduka Prof. Dr. Supyan Hussin.

“Turut serta Presiden Yayasan Anti Rasuah Malaysia, Dato Sri Haji Zakaria Bin Haji Jaffar; Pengerusi PERKIM, Wilayah Persekutuan, Dato Nakhaei Haji Ahmad; Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Dr Hasan Mad; dan  Pengerusi Lembaga Penasihat SPRM, Tan Sri Abu Zahar bin Dato’ Nika Ujang.

“Tidak ketinggalan Ketua Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Roslan Mohd Nor; Peguambela dan Peguamcara di Mahkamah Tinggi Malaya, Datuk Profesor Madya Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Hussin; dan Pengerusi Jawatankuasa Pemandu MPM, Tun Hanif Omar. 

Melalui persidangan meja bulat itu, ujar Mohd Zai, kata sepakat telah diperolehi yang  mencadangkan Hanif dilantik sebagai Penasihat dalam melaksanakan tugas bersama-sama dengan NGI  yang lain.

“Maka dengan itu, satu jawatankuasa pelaksana kepada Gerakan Daulat telah dibentuk. Pada 30 Ogos 2022, satu mesyuarat jawatankuasa pelaksana telah diadakan dan dengan rasmi ditubuhkan satu nama Gerakan Daulat dengan Prof. Madya Dr. Roslan Mohd Nor dilantik sebagai Pengerusinya.

“Timbalan Gerakan Daulat pula disandang oleh Ustaz Kamaruzaman Mohamad, semenara jawatan Setiausaha dan Bendahari masing-masing dipegang oleh saya dan Dato Muhammad Abdullah, di samping 15 orang Ahli Jawatan Kuasa (AJK) yang dilantik daripada pelbagai NGO,” jelasnya. – HARAKAHDAILY  7/09/2022

- Advertisement -