Oleh NORHANA MAT ZIN
KUALA LUMPUR: PAS merupakan sebuah parti legenda yang penuh dan sarat dengan pengalaman, yang perlu dihormati oleh musuh-musuh dan rakan-rakan politik di Malaysia.
Penganalisis politik, Dr. Mohammad Tawfik Yaakub berkata sedemikian ketika diminta mengulas mengenai Muktamar Tahunan PAS kali ke-68 yang berlangsung di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut bermula 3 hingga 4 September lalu.
Menurut beliau, bukan mudah sebenarnya untuk memandang ringan dan remeh kepada pengalaman serta kemampuan PAS membina empayar politik yang tersendiri di Malaysia selama ini.
Tambahnya, perjalanan PAS penuh berliku dalam sejarah politik di negara ini, namun kehadiran di persada politik tanah air juga telah menyemarakkan lagi usaha dakwah di Tanah Melayu.
Beliau turut memberitahu, sumbangan PAS terhadap dakwah Islam sememangnya tidak dinafikan sejajar dengan peranan PAS sebagai sebuah parti politik Islam.
Oleh yang demikian, ujarnya, apa yang paling penting bagaimana parti-parti politik khususnya di Malaysia, parti-parti politik melayu mengambil kesempatan untuk bekerjasama dengan PAS khususnya di negeri-negeri yang mendapat saingan sengit daripada Pakatan Harapan (PH).
“Hal ini kerana kita lihat dalam sejarah politik selepas PRU ke-14, tidak ada satu parti pun yang boleh mendabik dada mengaku bahawa mereka mampu untuk memenangi PRU ke-15 dengan kerusi yang dominan,” katanya.
Namun demikian, ujar beliau, apa yang paling penting, pertamanya, perlu melihat bagaimana untuk menghormati rakan politik yang lebih berpengalaman dan mampu untuk bersama-sama mendapat sokongan daripada peringkat akar umbi.
“Yang kedua, kita perlu melihat bagaimana untuk mendapatkan keyakinan daripada pengalaman PAS dalam mentadbir negeri-negeri misalnya di Kelantan dengan sifar kes rasuahnya.
“Kemudian PAS dapat mentadbir di negeri Terengganu dan Kedah itu sendiri dan sekarang di peringkat Perseketuan,” jelasnya.
Katanya lagi, beliau yakin sebenarnya pengalaman PAS perlu diketengahkan dan tidak boleh dilihat sebagai satu pengalaman yang kecil oleh musuh-musuh politik dan rakan-rakan politik lain.
“Sudah-sudahlah politik Melayu ini bercakaran, yang paling penting hari ini iaitu bagaimana untuk kita menyatukan dan meningkatkan momentum politik Melayu supaya dalam saingan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan datang berdasarkan kepada kejayaan meluluskan usul dalam muktamar di Kedah semalam, penyatuan ummah itu penting yang melibatkan Bersatu dengan Umno,” jelasnya.
Beliau berkata, ini merupakan keterbukaan jiwa besar PAS untuk memastikan bahawa ada satu titik pertemuan yang ada dalam kalangan parti-parti politik melayu mengenai penyatuan ummah yang perlu diperkasakan dan melupakan segala persengketaan atau perselisihan faham.
“Justeru, tidak wajar sekiranya dijadikan sempadan oleh kerjasama parti-parti polik Melayu yang boleh dibangunkan,” katanya.
Terdahulu, Muktamar Tahunan PAS Pusat Ke-68 bertema ‘Malaysia Sejahtera’ berkenaan telah meluluskan 13 usul, termasuk penyatuan parti politik dan pertubuhan Melayu-Islam pada PRU15 kelak.
Usul yang dikemukakan Dewan Ulama PAS Pusat itu bertujuan mengembalikan kuasa parti-parti politik teras Melayu-Islam pada pilihan raya berkenaan, termasuk meneruskan kerjasama dengan UMNO melalui platform Muafakat Nasional (MN) bagi memastikan situasi satu lawan satu pada PRU15. – HARAKAHDAILY 05/09/2022
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!