BANGI: Kerajaan sedang mengadakan sesi libat urus bagi mengkaji kesesuaiaan dari aspek undang-undang sebelum hukuman diyat dapat dilaksanakan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad.
Beliau berkata pihaknya sedang meneliti sama ada hukuman diyat (pampasan kepada keluarga mangsa yang terkesan dengan tindakan jenayah) dapat dilaksanakan dalam kerangka perundangan yang sedia ada atau perlu diadakan satu rang undang-undang baharu.
“Setakat ini baru buat roundtable (perbincangan) kali pertama, kami memerlukan masa untuk melihat perkara ini dari aspek undang-undang,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Penguat Kuasa dan Pendakwa Syarie Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam titahnya menzahirkan harapan supaya hukuman diyat dapat dilaksanakan secepat mungkin memandangkan Seri Paduka telah mencadangkannya sejak lima hingga enam tahun lepas.
Terdahulu Idris melancarkan Posedur Operasi Standard (SOP) Mengiringi Orang Yang Ditangkap ke Mahkamah atau Tempat Tahanan yang akan diguna pakai oleh penguat kuasa agama Islam di Wilayah Persekutuan.
Katanya SOP tersebut akan dibawa kepada pertimbangan badan penguat kuasa agama di peringkat negeri agar ia juga dapat dilaksanakan di seluruh negara.
Beliau juga berharap SOP Mengiringi Orang Yang Ditangkap ke Mahkamah atau Tempat Tahanan ini dijadikan panduan dan rujukan oleh semua pegawai penguat kuasa agama dan lain-lain agensi penguatkuasaan Syariah.
“Dalam pada itu, saya berpandangan pegawai penguat kuasa agama yang bertugas sebagai anggota yang mengiringi tahanan Orang Yang Ditangkap ke Mahkamah atau Tempat Tahanan serta pegawai penguat kuasa agama keseluruhannya perlu ada satu imej atau identiti yang melambangkan mereka adalah pegawai penguat kuasa.
“Kita semua bersetuju bahawa pakaian seragam merupakan satu identiti serta imej kepada pegawai penguat kuasa agama. Pakaian seragam juga lambang kekuatan dan disiplin bagi anggota penguat kuasa sebagai pasukan yang melaksanakan undang-undang penguatkuasaan dan pencegahan,” katanya.
Idris berkata beliau mengesyorkan agar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyediakan garis panduan pemakaian pakaian seragam kepada seluruh negeri dengan pembiayaan pakaian seragam itu dicadangkan dibiayai oleh Majlis Agama Islam Negeri. – BERNAMA
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!