Bendera ‘bulan’ pernah berkibar megah di Pahang

- Advertisement -

Oleh M FAQIH

MUKTAMAR
PAS kali ke-68 sekali lagi bertandang ke bumi Kedah. Selepas menjelajah ke Pahang, Kelantan dan Terengganu, tahun ini kembali semula ke negeri Jelapang Padi yang menjadi baluh negara.

Sebelum wabak Covid-19 melanda negara, perwakilan PAS dari seluruh negara pernah berkampung di Kompleks PAS Kedah di Kota Sarang Semut.

Pada muktamar 2017 PAS belum lagi berada di saf kerajaan. Masih lagi sebagai pembangkang, biar pun pernah menerajui kerajaan negeri itu pada 2008.

Pada muktamar ketika itu Kompleks PAS Kedah belum siap sepenuhnya. Di bahagian hadapan masih dalam pembinaan. Namun sekarang semua sudah berubah wajah.

- Advertisement -

Muktamar kali ini sekali lagi menghangatkan perbincangan hubungan PAS dengan parti sahabat. Taawun dengan parti yang seiring sejalan method perjuangan Islam.

Tentunya ramai masih ingat muktamar Muktamar Tahunan PAS ke-65 yang diadakan pada 21 hingga 23 Jun 2019 mencatat sejarah besar.

Muktamar itu diadakan di bumi Darul Makmur. Ketika itu hangat dibincangkan taawun dengan Umno. Malah di saat itu Umno menghulur kedua-dua belah tangan. Persahabatan mulai terjalin. Dan muktamar yang berlangsung ketika itu menjadi saksi.

Kerajaan Pahang bermurah hati memberi kebenaran bagi menggunakan stadium tertutup di Indera Mahkota. Kompleks Sukan Pahang (SUKPA), Indera Mahkota pertama kali berkibar bendera bulan purnama.

Tidak pernah berlaku dalam sejarah selepas PAS disingkirkan daripada Barisan Nasional pada 1977. Di Indera Mahkota bukan sekadar menyaksikan SUKPA berkibar bendera PAS, sebaliknya premis milik kerajaan Pahang lain juga dijadi premis muktamar.

Lebih mengujakan lagi apabila Menteri Besar Wan Rosdi Wan Ismail turut menaja makan malam pimpinan PAS dan perwakilan yang datang dari seluruh negara.

Bendera hijau putih juga boleh didapati di sepanjang jalan tempat muktamar berlangsung. Bibit kerjasama yang terjalin tersebut berlaku sebelum termaterai Piagam Muafakat Nasional pada 14 September 2019.

Anak muda mungkin tidak mengingati apa yang berlaku itu. Mereka masih belum lagi layak mengundi.

Topik kerjasama antara PAS dan Umno hangat diperkatakan para perwakilan. Ada perwakilan mengingatkan pimpinan di atas supaya jangan pisang tidak berbuah dua kali.

Ada juga perwakilan mengulangi ingatan, jangan dipatuk ular kali kedua di lubang sama. Biarpun tangan persahabatan sudah di hulur, perwakilan mahu pimpinan PAS lebih berhati-hati.

Pengalaman didera

Mereka lebih kenal hati budi pemimpin Umno. Tidak kurang juga ada yang mempunyai koleksi pengalaman ‘didera’ pemimpin Umno peringkat cawangan.

Di Kelantan pada awal 1990-an heboh diperkatakan hendak dapat baja subsidi cap dacing kena isi borang Umno.

Ia benar-benar berlaku dan bukan cerita omongan. Anak muda boleh tanya emak atau ayah mereka. Kalau ayah mereka pesawah tentunya masih mengingati peristiwa yang berlaku tersebut.

Malah ramai yang pernah menjadi mangsa sudah tiada lagi sekarang. Itu cerita lama. Kalau dikenang tentunya sukar untuk bersahabat dengan rakan bernama Umno.

Maka ketika itu perwakilan PAS berjiwa besar. Mereka sanggup melupakan kisah lama biarpun masih membekas di ingatan. Koleksi cerita didera angkara politik bertimbun kisahnya.

Biarpun kisah sedih bertimbun, namun ia dilupakan seketika pada muktamar di Indera Mahkota. Namun rupa-rupanya ingat perwakilan pada 2019 mulai muncul sekarang.

Kata orang panas tidak sampai ke petang apabila hujan di tengah jalan. Persahabatan akrab hanya terjalin kira-kira setahun.

Dan pada muktamar tahun lepas di Kuala Terengganu, bayangan ke arah mufarakah mulai kehilangan. Dan selepas Umno menang bergaya pada Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor, perangai lama mereka muncul kembali.

Sejak detik itu Umno mulai mempersembahkan sandiwara akan bertanding secara solo. Hubungan MN sudah berada di titik akhir. Wajah ego mulai menguasai diri.

Dan kali ini muktamar PAS kali ke-68 kisah lama diputar kembali. Namun Mursyidul Am PAS Ustaz Hashim Jasin memberi ingatan. Jangan pula kita (PAS) yang membuat onar.

“Jangan kita yang menjadi punca perpecahan umat yang berlaku sekarang,” katanya ketika merasmikan Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat pada Jumaat lepas. – HARAKAHDAILY 6/9/2022

- Advertisement -