Perkasa tarbiyah sebagai suatu disiplin ketaatan

- Advertisement -

ALOR SETAR: Tarbiyah adalah tulang belakang PAS di samping dakwah dan siyasah di mana pemerkasaannya bersama organisasi amat penting untuk dijayakan oleh ahli-ahli PAS menggunakan semua panduan atau ketetapan sedia ada. 

Perwakilan PAS Melaka, Bakri Jamaluddin berkata, walaupun parti mempunyai strategi dalam gerak kerja, modul-modul tersusun dan mempunyai sistem pelaporan serta aplikasi MyMutabaah, tetapi jika tidak dilaksanakan ahli, PAS akan rebah. 

“Pemerkasaan tarbiyah dan organisasi ini adalah sebagai suatu disiplin ketaatan. Kita telah melalui dua PRN yang berlaku di Melaka dan juga di Johor. Dan tak perlu disebutkan hasil daripada post-mortem dilakukan. 

“Tetapi kunci kepada permasalahan yang berlaku. Adalah bagaimana ketaatan ahli-ahli PAS ke atas keputusan yang telah dibuat oleh pimpinan PAS Pusat,” ujar beliau membahas Ucapan Dasar Presiden PAS di Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-68 di Kompleks PAS Kedah, sebentar tadi. 

Menurutnya petikan peristiwa Badar dan Uhud oleh Presiden memberikan suatu pengajaran yang besar kepada ahli-ahli PAS dalam menjalankan tugas sebagai amilin bagi memenangkan Islam. 

Tegasnya, ketaatan kepada kepimpinan telah dicatatkan oleh Allah SWT dalam surah Ali-Imran di mana di dalam peristiwa Uhud itu ketaatan kepada perintah Rasulullah itu menjadi suatu tonggak kepada memastikan kemenangan. 

“Malangnya apabila sebahagian daripada Sahabat yang melihat ghanimah kemenangan hampir dan harta berada di depan mata, maka mereka telah lupa untuk melaksanakan arahan dan perintah yang telah diberikan oleh Rasulullah 

“Akhirnya menyebabkan 70 dari kalangan Sahabat gugur syahid di medan Uhud,” ujarnya mengimbas peristiwa amat penting itu berkait dengan pilihan raya. 

Beliau juga berharap usaha tarbiyah dan dakwah dibawa dengan aktif ke dalam masyarakat apatah lagi untuk ahli dan kepimpinan agar lahir dengan kualiti tertentu antaranya keperluan memiliki integriti. – HARAKAHDAILY 4/9/2022

- Advertisement -
- Advertisement -