Ahli DHPP sedia sertai usrah khas

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

- Advertisement -

ALOR SETAR: Dewan Himpunan Pendokong PAS (DHPP) akan terus istiqamah membina kekuatan dalaman melalui usrah melalui Lajnah Tarbiyah PAS.

Ketua DHPP Pusat, Senator N Balasubramaniam berkata, usrah merupakan tunggak kekuatan PAS selain mampu membina kekuatan dan perpaduan sesama ahli

“Kekuatan dalaman perlu diberi keutamaan kerana tanpa kekuatan dalaman kita mudah berpecah. Oleh itu DHPP merasakan ia satu keperluan yang tidak boleh diabaikan,” katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan sempena Muktamar Tahunan PAS Pusat kali ke 68, di Kompleks PAS Kedah hari ini.

Kata beliau sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam, pastinya akan berhadapan dengan pelbagai ujian dan cabaran apatah lagi ketika menjadi sebahagian daripada kerajaan.

Perkara itu ujarnya disebut Nabi Muhammad s.a.w bahawa akan tiba zaman orang yang memperjuangkan agama akan merasa seolah-olah memegang bara api.

“Tetapi jangan kita semua bimbang kerana ujian yang menimpa kita sebenarnya telah dilalui Nabi Muhammad s.a.w sejak 1,400 tahun lalu.

“Oleh itu jangan pedulikan segala kritikan atau tohmahan dari pihak-pihak tertentu dan musuh politik Islam,” tambahnya.

Balasubramanian juga berharap Lajnah Tarbiah PAS Pusat menyediakan modul khas usrah khusus kepada ahli dan pemimpin DHPP agar kekuatan dalaman dapat dibina dengan lebih mantap lagi. – HARAKAHDAILY 4/9/2022