Rakyat Palestin hargai PAS angkat isu Masjid Al-Aqsa

Muslim Imran ditemui Harakahdaily pada pelancaran Muktamar Tahunan PAS kali ke-68 di sini, hari ini.
- Advertisement -

Oleh NUR HASMIRA MOHAMAD

ALOR SETAR: Pengerusi Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia, Muslim Imran menyambut baik usaha PAS mengangkat isu pembebasan Masjid Al-Aqsa dan Palestin sebagai agenda utama.

Katanya, sebagai mewakili rakyat Palestin beliau merasai sangat gembira apabila Presiden PAS Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyentuh isu Palestin dalam ucapan di muktamar.

- Advertisement -

Kata beliau untuk mengadakan persidangan berhubung perkara itu perlu kepada platform untuk rakyat Palestin bagi membebaskan bumi Palestin.

“Alhamdulillah kita rasa gembira kecaknaan PAS terhadap rakyat Palestin dan insyaAllah kita mendoakan yang terbaik untuk PAS dan seluruh pemimpin serta ahlinya,” katanya ketika ditemui di muktamar hari ini.

Presiden PAS pada ucapan dasar sempena Muktamar Tahunan PAS kali ke-68 di Kompleks PAS Kedah mengangkat isu Palestin dan pembebasan Masjid al-Aqsa sebagai fokus gerak kerja di peringkat antarabangsa.

PAS mengetegahkan tiga tonggak utama membabitkan tumpuan isu dan kerjasama strategik serta pendidikan politik antarabangsa.

Parti itu juga akan menganjurkan persidangan Pakatan Global al-Quds dan Palestin yang dijangka diadakan dalam masa terdekat.

Mengenai tindakan kerajaan Arab Saudi menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap bekas imam Masjidil Haram Sheikh Saleh Al Talib, Muslim menganggap sebagai sesuatu yang mengejutkan.

“Seorang ulama sepatutnya dihormati, ulama sepatutnya diletak bersama ummah dan bukan diletakkan di penjara. Ia satu perkara yang menyedihkan,” kata Muslim.

Pada Ogos 2018, penguasa Arab Saudi menahan Sheikh Saleh selepas didakwa mengkritik kerajaan Arab Saudi supaya bertanggungjawab mengawal selia industri hiburan di negara itu.

Sheikh Saleh melontarkan kecaman terhadap penganjuran konsert dan acara hiburan yang jauh menyimpang dari norma agama Islam dan budaya.

Kritikan tersebut dinyatakan beliau semasa menyampaikan khutbah Jumaat. – HARAKAHDAILY 3/9/2022

- Advertisement -