PAS perlu cakna mendepani kebajikan rakyat

Dr Mastura Mohamad
- Advertisement -

Oleh: SARINA ISMAIL

ALOR SETAR: Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) mengambil cakna kepada dua isu utama pada era pemulihan pasca pandemik, iaitu isu anak muda dan wanita.

Pembahasnya, Dr Mastura Mohamad, berkata beberapa perkara berkaitan dua isu berkenaan perlu diberi perhatian agar PAS dilihat cakna mendepani kebajikan rakyat.

- Advertisement -

Menurutnya, antara perkara yang masih membelenggu anak-anak muda ialah peluang pekerjaan, pemilikan rumah dan rekod Pusat Sistem Maklumat Rujukan Kredit (CCRIS) kepada peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Banyak isu berkaitan anak-anak muda berkaitan kehidupan seharian. Oleh itu, mereka perlu dibantu untuk memulakan hidup,” katanya pada Muktamar PAS Ke-68 di Kompleks PAS Kedah di sini, hari ini.

Lebih merisaukan, Dr Mastura berkata, 75 peratus anak muda lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak mahu melanjutkan pelajaran.

Sehubungan itu, katanya mereka disarankan diberi peluang bekerja sambil belajar agar tidak tercicir dari pembinaan insan.

Sementara itu, beliau memuji langkah kerajaan melaksanakan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk suri rumah dan meluluskan Rang Undang-Undang Antigangguan Seksual untuk melindungi kebajikan dan keselamatan wanita.

Namun, Ketua Pengarah Ameerah Malaysia itu berpandangan bahawa perlaksanaan inisiatif berkenaan perlu diperkemaskan agar manfaatnya dapat dirasai.

“Justeru itu, muslimat memerlukan dokongan padu, termasuk sistem sokongan yang efisyen semua kepimpinan muslimin, termasuk golongan suami,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/9/22

- Advertisement -