Muktamar akan putus guna logo PRU15

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, ketika sidang media selepas majlis perasmian Muktamar Tahunan PAS Ke-68 di Kompleks PAS Kedah - Foto HarakahDaily: JAMAL KEMALA
- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR: Keputusan sama ada Perikatan Nasional (PN) akan menggunakan lambang sedia ada atau yang baharu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan diputuskan pada Muktamar Tahunan PAS Pusat kali ini.

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, berkata lambang sedia ada baharu di peringkat percubaan digunakan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor sebelum ini.

- Advertisement -

“Pada muktamar kali ini akan ada keputusan sama ada simbol itu dikekalkan atau bertukar yang baharu,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Muktamar Tahunan PAS Pusat kali ke-68 di Kompleks PAS Kedah, hari ini.

Beliau berkata, keputusan yang diambil turut mengambil kira pandangan ahli dan pemimpin di peringkat akar umbi.

Sebelum ini, ada cadangan supaya negeri-negeri yang ditadbir PAS seperti Kedah, Kelantan dan Terengganu tidak menggunakan lambang PN pada PRU akan datang, sebaliknya kekal dengan lambang bulan.

Mengenai kenyataan Presiden Umno, Dato’ Seri Zahid Hami bahawa parti itu akan bergerak solo pada PRU15, Tuan Guru Abdul Hadi berkata, PAS istiqamah dengan agenda perpaduan ummah untuk rakyat Malaysia.

“Sama ada orang Melayu, Bumiputera dan bukan Bumiputera yang menjadi warga negara Malaysia termasuk dalam agenda perpaduan ummah kerana mereka adalah sebahagian daripada kita.

“Muafakat Nasional (MN) kita melibatkan parti-parti Melayu, manakala PN turut melibatkan parti-parti bukan Islam,” tambahnya.

Menurutnya juga, kenyataan Presiden Umno itu dianggap bukan mewakili ahli akar umbi Umno memandangkan rundingan dan hubungan kedua-dua parti itu di peringkat bawahan berjalan dengan baik.

Namun Ahli Parlimen Marang itu tidak menafikan dalam politik tidak mustahil pelbagai perkara boleh berlaku.

“Dalam politik tiada yang mustahil. Dinamik dan macam-macam boleh berlaku,” ujar beliau.

Kata beliau juga, sehingga sekarang tarikh PRU15 belum diketahui dan penetapan tarikh berkenaan perlu diputuskan melalui Kabinet seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

Perdana Menteri, katanya tidak boleh membuat keputusan sembarangan memandangkan ahli Kabinet bukan majoriti daripada Umno kerana terdapat juga wakil-wakil dari PN.

Ditanya berkaitan pembahagian kerusi PRU15, kata beliau setakat ini perbincangan dan perundingan masih berjalan. – HARAKAHDAILY 3/9/22