Beri perhatian isu anak muda, wanita, Sabah dan Sarawak

- Advertisement -

ALOR SETAR: PAS mesti menjadikan isu anak muda dan wanita sebagai keutamaan, selain penting memberi tumpuan kepada Sabah dan Sarawak, demikian kata Perwakilan Muslimat PAS, Dr Siti Mastura Muhammad. 

Bentangnya, isu pengangkutan awam penting untuk mendekati anak muda, selari dengan kenderaan berdaftar di negara ini sebanyak 33 juta iaitu tertinggi di Asia Tenggara. 

Menurut beliau, sistem pengangkutan yang sistematik dan efisien mesti diadakan, selain membatalkan rekod CCRIS untuk anak muda disebabkan isu Pinjaman Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). 

“Ini bagi memudahkan hidup anak-anak muda sebagai permulaan hidup dan yang kedua kita melihat langkah ini oleh tabung-tabung pinjaman pendidikan negeri. Dan yang ketiga kita melihat berkenaan dengan isu pendidikan.  

“Di mana data meletakkan tujuh puluh lima peratus pelajar lepasan SPM tidak meneruskan untuk sesi pembelajaran. Lebih memilih untuk menjadi content creator, lebih memilih untuk menjadi influencer yang terkenal tanpa ada pendidikan.  

“Jadi kita melihat kepada perkara ini, belajar sambil bekerja kan? Satu inisiatif yang penting untuk kita lihat kepada anak muda supaya mereka tak tercicir sebagai modal insan dan generasi bakal mencorakkan negara,” ujarnya. 

Beliau bercakap demikian membahas Ucapan Dasar Presiden PAS pada Muktamar Tahunan PAS Pusat Kali Ke-68 di Dewan Dato’ Fadzil Mohd Noor, Kompleks PAS Kedah, di sini sebentar tadi. 

Beritahunya, Muslimat PAS ada mewujudkan akademi pendidikan tinggi, selain berfokus kepada isu-isu wanita antaranya caruman khas KWSP untuk suri rumah dan juga Akta Antigangguan Seksual. 

Perkara tersebut menurutnya, memberi imej dan reputasi kepada kerajaan kini, selain banyak mengubah kehidupan suri rumah dan mangsa keganasan rumah tangga. – HARAKAHDAILY 3/9/2022

- Advertisement -
- Advertisement -