ALOR SETAR: Pemuda sebagai tonggak yang memiliki kekuatan untuk menjadi benteng pertahanan negara perlu mempunyai kompetensi amilin dengan meningkatkan ilmu, keterampilan, nilai dan profesionalisme.
Perwakilan Pemuda PAS Perak, Muhammad Zulfahmi Ramli berkata, ia perlu meliputi untuk perjuangan, kehidupan dan kerjaya bagi memenuhi maksud al-Qawiyyul Amin.
“Ilmu mesti dicari dan ditambah, bukan sahaja bersifat ilmu agama atau ilmu dunia, ataupun disebut sebagai ilmu akhirat, tetapi apa sahaja ilmu atas semangat pembelajaran sepanjang hayat. Malah juga dituntut untuk kita berguru.
“Apabila sudah menuntut ilmu, maka berkongsilah ilmu ini kepada orang lain mudah-mudahan manfaat yang lebih besar dapat dilaksanakan di samping meneroka bidang-bidang ilmu yang lain.
“Di sinilah ruangnya untuk para pemuda mempersiapkan diri menjadi tenaga penting kepada pembantu kepada pasukan kerja nanti sama ada menjadi pembantu kepada Menteri, Tmbalan Menteri, Exco, Ahli Parlimen, ADUN.
“Mahupun penjawat-penjawat awam ataupun penjawat GLC yang akan meningkatkan lagi prestasi negeri,” ujarnya membahas Ucaptama Ketua Pemuda PAS di Muktamar Tahunan Pemuda PAS Malaysia Kali Ke-63 di Hotel Raia, di sini sebentar tadi.
Beliau menasihatkan supaya bakat dalam kalangan amilin tidak menjadi persaingan atau peminggiran, sebaliknya diperluaskan perkongsian dan dimanfaatkan dalam banyak keperluan jemaah.
Perwakilan Pemuda PAS Pulau Pinang, Mohamad Ikhwan Afiq Mohamad Anwar pula menggesa supaya semua produk-produk PAS seperti Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS), Dokumen Hijau dan lain-lain terus disebarkan.
Katanya, Pemuda sebagai daie, perlu menarik mad’u ke jalan Allah SWT dan bukannya membiarkan diri ditarik kepada mad’u kepada jalan kelalaian hingga mengabaikan urusan agama dan jemaah.
“Hati-hatilah dengan pendekatan yang kita ambil ini supaya pendekatan yang kita ambil ini tidak kembali menjadi fitnah kepada jemaah.
Yang keduanya dari sudut pentarbiyahan. Kalau kita tengok dari sudut ahli-ahli PAS tiap-tiap bulan akan bertambah dan tak akan pernah berkurang,” ujarnya menggesa usaha penerangan diperluaskan. – HARAKAHDAILY 2/9/2022

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!