Gimik peta Malaysia lambang penyatuan ummah

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

SIK:
Lebih 1,000 hadirin terdiri daripada perwakilan dan pemerhati dari 182 Dewan Muslimat PAS kawasan seluruh negara membanjiri Dewan Al-Hana, di sini untuk mengikuti persidangan Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) kali ke-62.

Seawal 7 pagi, semua petugas sudah memulakan tugasan masing-masing di tempat yang disediakan untuk memastikan program berjalan dengan lancar.

Sementara ketua dan jawatankuasa DMPM sudah berada di lokasi seawal jam 7.30 pagi menyambut tetamu serta para muktamirin yang kebanyakannya sudah berkampung di daerah Sik sejak 1 September lagi.

- Advertisement -

Majlis perasmian dimulakan sebaik sahaja perasmi, Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man tiba ke lokasi kira-kira jam 9 pagi.

Muktamar Tahunan DMPM kali ini yang bertemakan ‘Penyatuan Ummah Menuju Kemenangan’ menampilkan gimik perasmian yang begitu menarik.

Sesuai dengan kehangatan sambutan kemerdekaan kali ke-65, panji-panji kemegahan parti, negeri dan negara diarak masuk ke dewan sebaik sahaja lampu dewan dipadamkan.

Sebanyak 15 Jalur Gemilang,14 bendera mewakili negeri-negeri di Malaysia dan 15 bendera PAS diarak masuk oleh 46 anak-anak muda yang terdiri daripada Ameerah, Nusaibah dan Briged.

Dalam masa yang sama deklamasi sajak perjuangan yang disampaikan oleh Ketua Pengarah Ameerah DMPM, Dr Siti Mastura Mohamad bergema memecah kegelapan.

Sejurus doa wehdah selesai dibaca, Tuan Ibrahim meletakkan tapak tangan di aplikasi yang tersedia menyempurnakan perasmian Muktamar Tahunan DMPM kali ke 62 yang penuh bermakna itu. (Foto atas)

Peta Malaysia tertera di skrin sebagai lambang kekuatan penyatuan ummah selaras dengan tema muktamar kali ini.

Antara tetamu kehormat yang hadir pada majlis perasmian termasuklah Naib Presiden PAS, Senator Datuk Ustaz Idris Ahmad, Ketua Penerangan PAS Pusat, Senator Ir. Ts. Khairil Nizam Khairudin, Menteri Besar Kedah yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan beberapa ahli jawatankuasa PAS Pusat iaitu Dato’ Dr Nik Zawawi Mihammad Salleh, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff, Datuk Ahmad Marzuki Shaary dan Kamaruzaman Mohamad.

Turut hadir Ketua Serikandi Malaysia, Dato’ Seri Rina Harun dan Ketua Wanita Gerakan Malaysia, Janice Wong Oi Foon. – HARAKAHDAILY 2/9/2022

- Advertisement -