Rapatkan jurang politik melalui kasih sayang

Pembahas Dewan Pemuda PAS Kelantan, Haniful Fuad Hussin.
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

ALOR SETAR: PAS menawarkan politik penyelesaian sebagai solusi kepada politik persengketaan yang tidak pernah menguntungkan rakyat.

Namun, politik penyelesaian itu hanya akan dapat dicapai melalui kaedah tertentu, kata Pembahas Dewan Pemuda PAS Kelantan, Haniful Fuad Hussin.

- Advertisement -

Antaranya, tawaran politik kasih sayang, persiapan anak muda sebagai ahli politik berprinsip serta persiapan sebuah legasi kepimpinan yang bersedia menerima pandangan rakyat.

“Pemuda yang matang perlu dibentuk dengan tawaran sebagai rakyat muda bertanggungjawab kepada negara melalui tawaran politik kasih sayang, bukan politik kebencian.

“Seterusnya adalah persiapan anak muda sebagai ahli politik berprinsip dan pengiktirafan kepada mereka sebagai sebahagian daripada parti dan kerajaan, selain konsisten membawa penyatuan ummah.

“Kemudian, negara mempersiap sebuah legasi kepimpinan kerajaan yang bersedia untuk menerima pandangan rakyat, termasuk mendengar suara anak muda dan rakyat juga perlu dibentuk untuk menerima didikan kerajaan melalui dasar polisi yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa membahas ucaptama Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) pada sidang muktamar DPPM kali ke-63, di sini, hari ini.

Menurut Haniful Fuad, jurang perselisihan politik hanya dapat dicapai melalui politik kasih sayang.

Katanya, walaupun rakyat Malaysia berbeza fahaman dan pegangan politik, tetapi sebagai sebuah kerajaan, semua rakyat wajar disantuni dengan adil.

Tindakan itu katanya bertepatan dengan Firmah Allah SWT dalam Surah As-Syarh ayat sembilan dan sepuluh yang memberi garis panduan pengurusan kebajikan.

“Ayat ini dalam ilmu pengurusan adalah berkait soal peraturan, garis panduan dalam pentadbiran. Berikan hak mereka selayaknya mengikut lunas peraturan.

“Justeru, Dewan Pemuda PAS Kelantan mengambil peluang itu untuk bersama mengingatkan sesama kita agar bekerja mengikut posisi masing-masing, bekerjalah!” katanya. –HARAKAHDAILY 1/9/2022