ALOR SETAR: Kedaulatan negara mesti dijamin daripada gangguan anasir-anasir yang ingin merampas dan memecahkan tembok kemakmuran telah sekian lama dibentuk.
Perwakilan Pemuda PAS Johor, Mohamad Alif Baharum mengingatkan, keselamatan dan kestabilan negara terletak kepada perundangan yang kuat, sekali gus menuntut kelemahannya diatasi.
Beliau membangkitkan isu kehilangan Pulau Batu Puteh sebagai satu tragedi akibat daripada kelonggaran dalam memimpin dan menguasai sistem perundangan hingga berlaku perkara itu.
“Sejak kebelakangan ini kita sering terbaca di paparan media sosial, dan berita arus perdana, berkaitan isu pencerobohan sempadan yang berlaku di sebahagian wilayah Laut China Selatan sebagaimana yang diketahui perairan Malaysia juga turut terjejas di dalam perkara ini.
“Isu keselamatan dan kestabilan negara perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak bagi memastikan hak dan kedaulatan negara dipertahankan,” ujarnya membahas Ucaptama Ketua Pemuda PAS pada Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia di Hotel Raia, di sini sebentar tadi.
Perwakilan Pemuda PAS Sabah, Mohd Rizal Nasri pula dalam perbahasannya menegaskan bahawa, pengurusan dan kawalan sempadan negara mesti dikawal daripada penyeludupan barang kawalan berjadual.
“Ini adalah satu kebimbangan kita negeri Sabah khususnya terdapat golongan-golongan yang telah membawa atau menyelinap keluar barang-barang di Sabah khususnya kepada negara jiran yang berlaku di sempadan negara.
Kita dapat tahu kes ini bila mana ada tangkapan demi tangkapan yang banyak. Bagaimanakah kawalan di sempadan-sempadan negara ini yang semakin membimbangkan?
“Isu juga pencerobohan udara zon maritim Malaysia. Seperti Pulau Batu Puteh yang bukan lagi milik Malaysia. Jadi apakah implikasi daripada isu ini? Sekiranya terus berlaku aktiviti menjejaskan ekonomi negara ini.
“(Selain) menyebabkan pelbagai aktiviti-aktiviti melibatkan rasuah dan juga mengancam keselamatan negara,” ujarnya turut mempersoal pemilikan negara berikutan tuntutan waris Kesultanan Sulu terhadap Sabah sudah berlaku ratusan tahun. – HARAKAHDAILY 1/9/2022
Kerajaan digesa tegas tangani isu kedaulatan sempadan
- Advertisement -