Kenaikan harga roti Gardenia hari ini: Reaksi orang ramai

- Advertisement -

Oleh NORHANA MAT ZIN

KUALA LUMPUR: Bermula hari ini, 1 September 2022, sebanyak 53 produk Gardenia Bakeries KL Sdn. Bhd. (Gardenia) telah mengumumkan mengalami perubahan atau kenaikan harga baharu, justeru apakah reaksi orang ramai?

Tinjauan HarakahDaily di sekitar ibu kota mendapati orang ramai yang ditemu bual terkejut dengan pengumuman harga baharu produk roti Gardenia, memandangkan belum cukup setahun, produk keluaran daripada syarikat tersebut dinaikkan harga lagi.

- Advertisement -

Menurut Pembantu Penilaian, Bakri Abd. Rasid, 41, dia terkejut dan tidak menjangkakan kenaikan harga produk keluaran Gardenia sehingga 50 sen bermula hari ini.

Bakri Abd. Rasid

“Setahu saya, belum sampai setahun lagi, Gardenia telah menaikan harga bagi setiap produk keluarannya.

“Namun begitu, walaupun harga keluaran produk Gardenia dinaikan, saya tetap membelinya juga, kerana agak sukar bagi saya untuk beralih kepada roti berjenama lain di pasaran,” akuinya. 

Sementara bagi Pembantu Tadbir, Mohd Sulaimi Abdullah, 26, pula dia tidak terkejut dengan perubahan kenaikan harga roti terbaharu yang dikeluarkan oleh Gardenia.

Mohd Sulaimi Abdullah

Katanya, ia memandangkan semua bahan mentah di negara kita buat masa ini meningkat, tidak mustahil harga roti keluaran syarikat Gardenia turut naik.

“Walaupun roti Gardenia naik harga, saya tetap akan membeli roti Gardenia juga dan belum lagi terfikir untuk bertukar kepada jenama lain memandangkan jenama lain agak sukar didapati berbanding jenama keluaran Gardenia,” katanya kepada HarakahDaily.  

Guru Pendidikan Moral, Nor Khamsiah Mat Zin, 31, yang turut terkejut dengan kenaikan harga roti Gardenia.

“Sekiranya kenaikan ini berterusan, saya dan juga para pengguna yang lain berkemungkinan besar akan beralih kepada jenama lain yang menawarkan harga roti yang lebih murah berbanding roti berjenama Gardenia,” tegasnya. 

Nor Khamsiah Mat Zin

Akauntan swasta, Siti Hajjarr Hussin, 39, puka berkata, kenaikan harga baharu produk keluaran Gardenia agak terbeban buat dirinya dan pengguna lain kerana walaupun kenaikannya hanya beberapa sen sahaja bagi setiap keluaran produk Gardenia.

“Saya mempunyai empat orang anak yang boleh dikatakan penggemar segala produk-produk berasaskan roti.

Siti Hajjarr Hussin

“Jika saya beli beberapa jenis roti daripada keluaran Gardenia, secara automatik saya perlu membayar dengan harga yang tinggi,” ujarnya.

Tambahnya, memandangkan kenaikan harga roti Gardenia yang terbaharu ini, secara tak langsung mungkin dia akan beralih kepada jenama lain yang harganya lagi rendah berbanding roti dari jenama Gardenia.

“Namun begitu, sekiranya pada masa itu yang ada cuma roti keluaran Gardenia sahaja, saya terpaksalah membeli roti Gardenia,” ujarnya.  

Nor Akmal Nordin

Dalam pada itu, peniaga kek, Nor Akmal Nordin, 41, menegskan bahawa walaupun Gardenia menaikkan harga 53 produk keluarannya,  sebagai penggemar roti keluaran Gardenia, dia tetap tidak akan berallih kepada jenama lain.

“Bagi saya, kualiti roti Gardenia tidak sama dengan jenama lain, seperti struktur rotinya yang sangat lembut. Saya faham mengapa syarikat itu menaikkan harga lagi.

“Kenaikan harga bahan mentah menyebabkan syarikat Gardenia terpaksa menaikkan harga keluaran produknya,” katanya. 

Umi Kelsom Hamzah

Bagi suri rumah, Umi Kelsom Hamzah, 46, ketika dihubungi Harakah berkata, walaupun syarikat Gardenia mengumumkan kenaikan harga, sebagai pengguna tetap roti keluaran Gardenia, dia tetap akan memilih jenama itu sebagai pilihan nombor satu.

“Saya tidak akan sama sekali menukar kepada jenama lain memandangkan roti Gardenia mempunyai pelbagai pilihan.

“Bagi saya, sebagai seorang pengguna, kita kena akur dan terima dengan kenaikan harga roti pada masa kini,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 01/09/2022

- Advertisement -