Bagaimana Pemuda PAS bentuk generasi sejahtera?

- Advertisement -

ALOR SETAR: Pemuda PAS hanya akan berjaya menjadi ejen penyatuan apabila bertindak atas dasar prinsip Islam dan bukannya emosi atau sentimen, demikian peringatan Perwakilan Pemuda PAS Kedah, Ku Abd Muhyi Ku Abd Hamid.

Tegas beliau, kepentingan Islam mestilah diutamakan dalam semua perbincangan ke arah penyatuan bersama rakan-rakan politik lainnya dengan memastikan dalaman Pemuda sendiri bebas dari masalah.

“Tidak bersatu padu, sama ada dari sudut hati, sama ada dari sudut pemikiran, dan juga sama ada dari sudut fikrah itu sendiri (mesti dielakkan). 

“Pemuda juga merupakan ejen PAS dalam masyarakat. Yang ni Pemuda PAS mestilah mengenengahkan peranan yang aktif dalam masyarakat, sama ada di peringkat kawasan, di peringkat cawangan mahupun di peringkat negeri. 

“Sama ada sama ada yang telah diberikan jawatan ataupun tidak diberikan jawatan dalam kerajaan,” ujar beliau membahas Ucaptama Ketua Pemuda PAS pada Muktamar Tahunan Pemuda PAS Malaysia di Hotel Raia, di sini sebentar tadi. 

Peringatnya juga, Pemuda PAS juga mesti memiliki kemampuan memberi penyelesaian berdasarkan kerangka Islam sebagaimana garis terdapat dalam prinsip Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) digagaskan PAS.

Dari aspek organisasi, Pemuda PAS ujarnya, perlu memiliki sumber manusia yang ramai dengan turut memiliki kebolehan dan kepakaran agar lambakan amanah kepada individu-individu tertentu dapat dikurangkan.

Selain itu, berperanan di media sosial, Pemuda PAS perlu menjuarai isu-isu rakyat hingga mengadakan usaha meremajakan PAS dapat direalisasikan sebagaimana pernah dibincang bahaskan satu ketika sebelum ini.

- Advertisement -
Ku Abd Muhyi Ku Abd Hamid

Perwakilan Pemuda PAS Selangor, Syeikh Muhd Mujahid Sikh Nawawi pula menegaskan, pudarnya nilai sejahtera menyebabkan anak muda akan melihat dunia secara kebendaan dengan mengejar pangkat dan untuk memenuhi perut dan temboloknya.

Pemuda PAS peringatnya, mestilah memiliki sifat untuk mudah dibentuk dan diacu jiwa kepada kesejahteraan iaitulah dengan kebenaran dan hujah ilmu, akidah serta akhlak agar berbeza dengan anak muda yang terikut dengan dunianya.

Katanya, media sosial hari ini sangat bahaya di mana banyak membawa pengaruh tidak baik kepada anak muda sebagaimana pempengaruh telah menyebabkan ramai pelajar lepasan SPM enggan melanjutkan pengajian.

Keadaan demikian itu jelasnya, makin menyebabkan sukar kepada usaha untuk melahirkan Pemuda yang dapat dibentuk dengan acuan syarak dan memenuhi muwasafat tarbiyah.

Saran beliau, Pemuda PAS mestilah melalui pentarbiyahan sebagaimana fasa siyasah dilalui Rasulullah SAW iaitulah nafsiyah, madaniyah dan kamilah dengan menutup segala kelompangan terdapat dalam kehidupan anak muda.

Peringat beliau, Islam tidak dapat ditegakkan dengan para pemuda yang menjadi alat kepada dunianya di mana bersama pembangunan dan teknologi itu juga berlaku banyak keburukan dan jenayah.

Azmer Syazwan Ahmad Suparmin

Perwakilan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Azmer Syazwan Ahmad Suparmin pula menyatakan bahawa pembentukan diri Pemuda-pemuda PAS ternyata berbeza daripada anak-anak muda lainnya. 

Hal itu jelasnya, kerana Pemuda PAS dididik dengan kesabaran dan keimanan hingga tidak pernah kedengaran timbul apa-apa skandal dalam kalangan mereka.

Seru beliau, Pemuda PAS perlu meneguhkan tarbiyah dengan turut sama menggerakkan agenda amar makruf nahi munkar dalam kalangan masyarakat sekeliling mereka. 

“Sibukkan diri kepada Allah SWT dengan beramal biar menjadi darah daging sendiri,” ujarnya turut menyeru perlunya kemahiran diri untuk berbakti. 

Pun begitu dengan cabaran yang ada sebagaimana ditempuh anak-anak muda hari ini, beliau mengingatkan Pemuda Sejahtera mestilah melazimi program tarbiyah. – HARAKAHDAILY 1/9/2022

- Advertisement -